KOLUM | Bacang dibungkus akan tetap semerbak juga
KOLUM | Kita harus lebih banyak bercakap mengenai pusingan U yang dilakukan oleh Umno dan PAS setelah usaha mengkhianati Yamtuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir nampaknya sedang menuju kegagalan.
Umno tidak boleh dan tidak wajar dipercayai lagi.
Kita misalnya masih belum tahu siapakah yang memaksa Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, menandatangani proklamasi menurunkan Tuanku Muhriz di Port Dickson.
Akhbar Singapura, The Straits Times, pernah mendakwa pimpinan tertinggi Umno berada di situ.
Kita juga misalnya masih belum tahu mengapa Umno begitu berani melawan titah raja pada pertengahan Sept 2026. Ia berkaku apabila seramai 10 exco mengeluarkan kenyataan menyokong pengisytiharan penurunan takhta Tuanku Muhriz.
Mereka kemudian mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baru.
Kita masih belum tahu siapa di belakang mereka. Berani Umno biasanya disertakan formula jembalang, janji dan wang besar.
Ia tidak seharusnya terbiar menjadi status YTJT. Ia harus dibongkar ke akar umbi.
Tekanan hingga PRN awal
Umno dan PAS yang sedang syok mempertahankan Melaka mesti ditekan untuk menjelaskan kepada kita – rakyat seluruh negara. Apakah pengkhianatan terhadap Tuanku Muhriz itu berkait rapat dengan usaha-usaha untuk membawa keluar Najib Razak dari penjara, misalnya?
Ia dibangkitkan kerana Tuanku Muhriz sangat lantang mengkritik rasuah dan menolak perasuah – besar atau kecil. Mereka yang mengejek dan bersorak di media sosial untuk mengaibkan Tuanku Muhriz bukanlah kebetulan.
Sebahagian daripadanya adalah mereka yang sama mencintai Najib dan keluarga Najib.
Bacang dibungkus baunya keluar juga.
Meskipun Umno berusaha untuk menafikan apa yang mereka lakukan selama ini adalah satu pengkhianatan kepada Yamtuan Besar Negeri Sembilan, namun, keberpihakan Umno-PN kepada Tunku Nadzaruddin kekal sebagai bacang berbau.
Ia dapat kita jejaki sejak 19 April iaitu apabila undang yang dipertikai cuba melengserkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Oleh sebab kerajaan Negeri Sembilan pimpinan PH enggan tunduk kepada proklamasi batil itu, Umno telah memberi tekanan sehingga berlakunya PRN lebih awal, iaitu pada 1 Ogos lalu.
Menerusi kempen yang berat sebelah dan penuh muslihat, ramai pengundi terpedaya untuk memilih BN dan PAS yang kononnya ada formula adat.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/4f38764553a3a2c897a3d8072096f7fb.jpg)
Bau bacang semakin kuat apabila BN memenangi 18 daripada 36 kerusi DUN. Mereka kekal berurusan dengan Tunku Nadzaruddin sehingga membawa kepada kecaman keras Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang mempertahankan Tuanku Muhriz.
Bekas Exco Negeri Sembilan yang terdiri daripada Umno, MCA dan PAS sebenarnya tidak mempunyai kuasa di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 untuk menentukan kedudukan raja.
Namun mereka nampaknya kekal memandai-mandai. Pendirian DKU pula sangat jelas iaitu menegaskan bahawa keputusan berhubung penurunan takhta tersebut tidak sah, terbatal sejak awal, dan di luar bidang kuasa kerajaan negeri.
Bagai kelip-kelip terbang malam, tindakan para bekas exco itu menyokong pelucutan takhta Tuanku Muhriz dengan sendirinya membatalkan pelantikan semua mereka yang berkuat kuasa pada 20 Sept lalu.
Hal itu kerana mereka melanggar sumpah jawatan dan tidak setia kepada pemerintah.
Dikerbaukan dengan 'YTJT'
Pembatalan pelantikan 10 exco tersebut juga direkodkan secara rasmi menerusi Warta Kerajaan Negeri Sembilan bertarikh 24 Sept yang dibuat mengikut Perkara 38(5) UUTKNS 1959.
Umno dan PAS tidak boleh mengelak dan tidak boleh berselindung lagi. Kelip-kelip malam menunjukkan penglibatan mereka untuk mengkhianati raja. Adakah sekeping surat pusingan U membatalkan perbuatan derhaka?
Pada 10 Nov – di tengah kerancakan kempen BN di Melaka – Ismail Lasim bersama 10 bekas exco menarik balik surat bertarikh 17 Sept yang memberi sembah maklum kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung kedudukan Tuanku Muhriz.
Ismail menyatakan keputusan itu dibuat berdasarkan kenyataan media raja-raja Melayu bertarikh 14 Oktober serta perintah Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun.
Dia seterusnya berhujah, keputusan tersebut dibuat demi menjunjung keluhuran UUTKNS 1959 serta memelihara tertib pemerintahan beraja, di samping memastikan kelangsungan pentadbiran negeri berjalan dalam keadaan aman dan teratur.
Soalnya, apabila BN dan PAS mengkhianati Tuanku Muhrih mulanya, apakah mereka tidak memikirkan soal tertib pemerintahan beraja serta keperluan agar pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan aman dan teratur?
/file/attachments/orphans/WhatsApp-Image-2026-09-17-at-9454_342982.jpg)
Apakah mereka yang terdiri daripada lulusan undang-undang dan lain-lain lagi itu benar-benar bodoh? Atau adakah mereka bermain politik seperti yang mereka lakukan sejak awal?
Jika mereka bermain politik (lagi), siapakah yang menggerakkan tangan-tangan badut itu? Terutamanya setelah Najib sudah pun berada di rumah dan nampaknya menikmati pelbagai keistimewaan.
Adakah mereka beroleh bekap daripada jembalang? Kita rakyat biasa tidak boleh lagi dikerbau-kerbaukan dengan istilah YTJT.
Ia kini umpama berlindung di balik telunjuk. Apakah Ismail dan seluruh jentera BN serta PN benar-benar boleh dipercayai?
Dalam laporan bertarikh 28 Okt lalu, The Straits Times melaporkan Ismail dicabar oleh kumpulan Jalaluddin Alias dan kumpulan Asna Amin (yang disebut-sebut sebagai orang Ahmad Zahid Hamidi).
Bangkai gajah dengan nyiru
Jika laporan itu benar – dan selalunya laporan media itu benar – Negeri Sembilan akan terus dibiruharukan oleh Umno dan PAS. Dalam erti kata lain kita akan menyaksikan perebutan kuasa yang berterusan.
Kemungkinan besar Umno dan PAS tanpa segan silu kekal menunggang isu adat, dan kedudukan Yamtuan Besar Negeri Sembilan untuk kepentingan mereka.
Apakah mereka tidak akan mengulangi pengkhianatan? Dalam sejarah umat manusia, seorang pengkhianat biasanya akan mengulang ketagihannya. Mereka akan berkhianat secara berulangan.
Jadi belum tentu DUN akan bersidang dengan aman, dan belum tentu juga perjalanan pentadbiran negeri akan bergerak lancar. Pengundi Negeri Sembilan di kawasan pedalaman sudah pun diayam-ayamkan oleh pimpinan BN dan PN.
/file/attachments/orphans/PentadbiranUndangLuakRembaudd_912175.jpg)
Kebanyakan penyokong PAS misalnya sangat mempercayai Abdul Hadi Awang yang cakapnya selalu berbolak-balik sejak muda sehingga tua. Mereka percaya kononnya parti-parti yang diundi itu ada formula untuk menyelesaikan ‘kemelut’ adat.
Padahal mereka semua sudah dan sedang diperbodohkan, manakala laba dan untung semua sedang tersuap ke mulut pemimpin.
Apa yang misteri ialah, siapakah yang berada di belakang Umno dan PAS ini sehingga mereka begitu berani mengkhianati seorang raja sah yang sangat memusuhi rasuah dan perasuah?
Kita semua tahu Tuanku Muhriz adalah ketua pejuang antirasuah (pejuang dalam erti kata sebenar, bukan parti Pejuang). Bangkai gajah tidak boleh ditutup nyiru.
Kita juga tahu siapa yang tidak antirasuah, atau begitu berlembut dengan perasuah.
Setelah melakukan pengkhianatan dan penderhakaan, bolehkah Umno dan PAS diampunkan? Ismail sendiri mendakwa dia dipaksa, tetapi – Hallo! Hallo! – siapakah yang memaksa?
Hallo Ismail! Hallo, hallo Umno dan PAS! Kami belum lupa!
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, merangkap anak buah dari suku Tiga Batu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/890/MinangkabauRoofSilhouettewithMustardSun_648528.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.