Taylor’s University menyambut tokoh industri seni bagi memacu inspirasi bakat masa hadapan
Taylor’s University berbesar hati mengumumkan pelantikan empat tokoh tersohor dalam industri seni persembahan sebagai Profesor Adjung bagi program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian). Pelantikan ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam merapatkan jurang antara pengajian akademik dan amalan profesional, serta memperkasa pelajar melalui bimbingan langsung daripada penggiat terkemuka dalam bidang persembahan, muzik dan tarian.
Bagi pengkhususan Persembahan, Siti Saleha binti Mohd Baharum dan Datin Hajah Marlia binti Musa bakal membawa pengalaman luas serta pandangan mendalam daripada ekosistem seni persembahan negara.
Siti Saleha, seorang pelakon disegani yang dikenali dengan keupayaannya menjiwai pelbagai watak di televisyen, filem dan teater, terkenal dengan lakonan penuh penghayatan serta kepelbagaian bakat artistiknya. Penglibatannya akan membuka laluan baharu kepada pelajar dalam bidang lakonan skrin, penjenamaan peribadi dan jaringan profesional dalam televisyen, filem serta komersial. Menerusi bimbingan beliau, pelajar akan belajar menyesuaikan teknik persembahan mereka dengan keperluan lakonan skrin dan membina keyakinan bagi kerjaya yang mapan dalam industri hiburan.

Turut bersama, Datin Marlia Musa, seorang pelakon berpengalaman dan pendidik seni, akan memupuk pemahaman pelajar tentang landskap seni persembahan Malaysia. Dengan pengalaman menyeluruh dalam lakonan dan pendidikan seni, Datin Marlia berperanan membina kreativiti, disiplin dan identiti artistik pelajar bagi memastikan mereka bersedia menghadapi keperluan industri.

Pengkhususan Muzik pula akan diperkaya dengan penglibatan Dato’ Dr Haji Mohamad Nasir bin Mohamed Sam, seorang ikon penyanyi-penulis lagu, komposer dan penerbit, yang pengaruh seninya telah membentuk industri muzik Malaysia lebih daripada empat dekad. Bimbingan beliau akan memberi pendedahan kepada proses kreatif penulisan lagu, gubahan dan penerbitan muzik, serta strategi membina kerjaya yang berdaya tahan dalam industri muzik.

Selain itu, Pengkhususan Tarian akan dibimbing oleh Maria Sascha Khan, seorang penari balet bertaraf antarabangsa, bekas Principal Ballerina, dan Pengarah Pembangunan Artistik bagi Ballet Nights di Asia Tenggara. Pengalaman beliau di peringkat antarabangsa dalam persembahan, koreografi, dan kerjasama merentas budaya akan memperkaya pemahaman pelajar tentang tarian sebagai bahasa seni sejagat yang menghubungkan masyarakat dari pelbagai budaya.

“Kami amat berbesar hati menerima barisan tokoh industri ini sebagai Profesor Adjung dalam program Seni Persembahan,” kata Raziman bin Sarbini, Pengarah Program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian), Taylor’s University. “Wawasan dan bimbingan mereka akan memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar, memberikan perspektif industri yang sebenar serta menginspirasi mereka untuk meneroka dan memperluas batas kreativiti dalam pengkhususan pilihan masing-masing.”
Program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Kepujian) di Taylor’s University menawarkan tiga pengkhususan iaitu Persembahan, Muzik dan Tarian, yang menggabungkan asas akademik dengan pendedahan industri. Melalui bimbingan langsung tokoh-tokoh profesional, pelajar berpeluang membina keyakinan kreatif, kecekapan teknikal dan daya adaptasi untuk cemerlang dalam industri seni dan hiburan yang sentiasa berkembang.
Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, layari bit.ly/TaylorsPerformingArts.
Siri Empower the Future adalah kolaborasi bersama Taylor's University.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/11/d567c03c3b4db228f89cbf5a2f49ecaf.jpg)

Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.