Grateful Dead beraksi kali terakhir demi peminat
Seakan baru bangkit dari kubur dan diraikan, begitulah sinonimnya band Grateful Dead yang muncul kembali setelah bertahun-tahun menghilang.
Mereka berjanji untuk menghiburkan peminat buat kali terakhir.
Ibarat satu fenomena, penjualan tiket berlaku dengan begitu laris dan dianggarkan setengah juta peminat cuba membeli tiket itu secara dalam talian sebaik saja Grateful Dead mengumumkan rancangan mereka mengadakan konsert bulan ini.
Bagai menggamit memori dulu kala, peminat yang masih tegar mahupun baru, mengirim 60,000 sampul surat berhiaskan gaya hipi dan rekaan tangan sebagai tanda ‘cinta’ ke pejabat jualan tiket kumpulan berkenaan di utara San Francisco.
Mungkin bagi sesetengah pihak, Grateful Dead sudah lama tidak wujud, tetapi bukan semudah itu untuk melupakan band yang sentiasa mendapat sambutan hangat dalam konsert jelajahnya.
Mereka masih dirindui dan diingati, malah menguasai sebilangan besar peminat yang digelar Deadheads.
Cemerlang di atas pentas
Grateful Dead ditubuhkan pada 1965 ketika dunia dipayungi budaya hipi. Anggota asal mereka ialah Jerry Garcia, Bob Weir, Phil Lesh, Bill, Kreutzmann dan Ron McKernan dan mencipta sejarah bersama Jimi Hendrix dan Janis Joplin di Festival Monterey Pop dan Woodstock.
Sepanjang tempoh melakar nama di AS, mereka menerbitkan 13 album.
Grateful Dead hangat diperkatakan kerana gaya mereka yang unik dan bertenaga dalam membangkitkan elemen muzik seperti rock, folk, bluegrass, reggae, country,jazz, psychedelia, blues, dan space rock.
Kejayaan kumpulan ini tidak bersandarkan kepada penjualan album, sebaliknya daripada kejayaan konsert yang dijalankan.
Bagaimanapun, selepas pemain dram Mickey Hart menyertai kumpulan itu pada 1967, McKernan pergi meninggalkan mereka pada 1973.
Namun, apa yang paling menyedihkan, vokalis kumpulan itu, Garcia meninggal dunia ketika berusia mencecah 53 tahun kerana serangan jantung.
Ketiadaan Garcia memaksa keberadaan Grateful Dead terhenti.
Konsert terakhir Grateful Dead bakal berlangung antara 3 hingga 5 Julai ini di Soldier Field, Chicago dan bakal disiarkan secara langsung di Internet.

