Khusus buat peminat teater - terutama bergenre komedi - produksi Mask Team bakal membawakan pementasan Maduku Kalut Returns (MKR) dengan barisan pelakon yang lebih mantap.

Gandingan kali ini menjanjikan kelainan apabila menampilkan Remy Ishak sebagai watak utamanya, Selamat.

Menceritakan latar pemilihan Remy sebagai Selamat, salah seorang pelakon MKR Nad Zainal mengakui dia antara pihak yang 'mengundi' aktor terbabit.

Katanya, ada tiga nama dibangkitkan apabila isu pelakon utama MKR dibincangkan dan salah satunya adalah Remy.

"Nama dia paling banyak disebut oleh pelakon dan tenaga produksi, termasuk saya. Saya kata, pilihlah Remy!" ceritanya di sidang media MKR di Kuala Lumpur semalam.

 

Sambil meniaga kita promo teater #MadukuKalutReturns

A photo posted by 🌸ﻧﺪ ﺯﻳﻨﺎﻝ🌸 (@nad.zainal) on

Mengakui teruja dengan pemilihan - dan penerimaan - Remy menjayakan teater itu, Nad berkata keyakinan diberikan kepada aktor itu bukanlah tanpa sebab.

“Saya memang minat lakonan Remy Ishak, dan dia pun tahu hal itu. Dia pelakon yang bagus," katanya.

Dari segi kesungguhan pula kata Nad, memang ia tidak dinafikan.

Katanya Remy banyak mengkaji watak yang dipegang selain tidak lokek beri cadangan sehingga mewujudkan hubungan dua hala sesama pelakon.

Awalnya keberatan terima

MKR mengisahkan Selamat seorang pemandu teksi yang beristeri dua iaitu Bibi (Jihan Muse) dan Mimi (Nad). Selamat sedaya upaya mengelak kedua-dua isterinya bertemu.

Biarpun sudah berganti pelakon (Selamat sebelum ini dilakonkan Izzue Islam), karya ini tetap menghiburkan kerana turut menyentuh isu semasa, tetapi secara lebih santai dan bersahaja.

Sementara itu Remy berkata, pada mulanya dia agak keberatan menerima tawaran berkenaan.

“Saya kalau boleh nak kurangkan watak komedi, tetapi bila saya lihat naskhah ini, ia satu pembaharuan bagi diri saya dalam bidang teater," katanya.

Secara berseloroh, Remy berkata, apabila dia melihat watak Selamat itu, dia sendiri berasa 'tidak selamat' namun berjanji melakukan yang terbaik demi MKR.

Selain Remy dan Nad, MKR turut menampil Sherry Al Hadad dan Dafi sebagai pelakon.

MKR dipentaskan di Istana Budaya pada 7 hingga 9 Ogos depan.