Pelakon Ashton Kutcher dan Mila Kunis akhirnya sah diumum sebagai pasangan suami isteri pada 4 Julai lalu dalam sebuah majlis tertutup.

Siri komedi televisyen That 70’s Show membuat nama pasangan itu mulai terkenal di AS melalui watak Michael Kelso yang dilakonkan Kutcher serta Jackie Burkhart (Mila).

Sebelum ini, pelbagai spekulasi mengenai status hubungan kedua-dua pelakon itu sudah diperkatakan secara meluas di media barat, namun mereka memilih untuk membiarkan hal itu berterusan menjadi tanda tanya.

Khabar perkahwinan Kutcher - Mila mulai kencang bertiup selepas aktor tersebut menyiarkan imej tulisan pada pasir dengan perkataan:  “Selamat Tahun Baru Kutchers” beberapa bulan lalu.

Kemudian, pada Mac lalu pula Mila disoal oleh James Corden: “Adakah kamu telah berkahwin?"

Mila hanya menjawab tenang: “Mungkin”.

Hal ini membuatkan peminat dan media keliru dengan status sebenar hubungan kedua-dua selebriti itu.

Pada Februari 2014, media barat melaporkan pasangan Hollywood itu sudah bertunang dan sejak itu mereka mendapat anak perempuan, Wyatt.

Menurut sumber, kesibukan menyiapkan kelengkapan bayi dan rumah baru tidak menjejaskan kebahagian pasangan itu.

Kutcher dan Mila membuktikan persahabatan yang terjalin ketika bersama-sama menjalani penggambaran That 70's Show tidak mencukupi, walaupun masing-masing pernah berpacaran dengan orang lain sepanjang lapan tahun rancangan itu ke udara.

Mereka mulai ‘terjebak’ dalam hubungan romantik dan sering dilihat bersama pada 2012 selepas Kutcher berpisah dengan Demi Moore setahun sebelum itu.

“Perkara paling hebat apabila mempunyai anak ialah memiliki pasangan seperti Mila. Dia ibu yang hebat. Apabila saya pergi kerja dan pulang ke rumah, dan dia ada di situ. Semuanya sempurnya.

"Apabila ada perkara yang tidak menjadi, dia tidak pernah merungut. Sebab itulah Mila amat hebat,” katanya.