Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dr M: The Wolf of Wall Street 'filem lucah' anak tiri Najib
Diterbitkan:  Jul 7, 2015 2:41 PM
Dikemaskini: 6:48 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad menggelarkan filem Hollywood terbitan anak tiri Datuk Seri Najib Razak, The Wolf of Wall Street , sebagai "filem lucah".

Menulis dalam blognya hari ini, bekas perdana menteri itu menggunakan filem berkenaan sebagai sebahagian daripada 'peluru' beliau mengkritik Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman serta Datuk Seri Najib Razak.

Dr Mahathir dan Najib kini berseteru dalam beberapa isu, terutama mengenai agensi tajaan kerajaan 1MDB.

Menurut Najib, Anifah tidak bertindak betul apabila menuduhnya memalukan negara kerana temu bualnya dengan akhbar AS, The New York Times.

"Mungkin Anifah tidak pernah baca suratkhabar Amerika sebelum usaha untuk memburukkan nama saya dijadikan asas mempertahankan Perdana Menteri Najib.

"Tetapi seluruh dunia tahu berkenaan Dato Seri Najib, Jho Low dan 1MDB. Ini disebabkan akhbar terkenal Wasington, New York dan London telah menyiarkan rencana panjang sehingga empat muka (surat) berkenaan skandal 1MDB, Najib dengan cara hidup mewahnya, Jho Low sahabat karibnya dan Riza Aziz, anak tirinya yang membiayai filem lucah The Wolf of Wall Street, " tulis Dr Mahathir.

The Wolf of Wall Street adalah filem terbitan 2013 dan diarah Martin Scorsese. Ia diterbitkan bersama oleh Scorsese sendiri bersama Leonardo DiCaprio, Riza Aziz, Joey McFarland dan Emma Tillinger Koskoff.

Nama Jho Low yang dipetik Dr Mahathir ialah ahli perniagaan yang dilihat begitu rapat dengan Najib, iaitu Low Taek Jho.

Filem itu mengandungi banyak adegan panas di atas ranjang dan dilarang ditayangkan di Malaysia.

Lihat Komen
ADS