'Isunya Najib dan 1MDB, rakyat menggelupur'
"Rakyat atau petani, nelayan, buruh marhaen tak ada sangkut paut untuk diminta bertenang dan bersatu menangkis segala tuduhan yang dikaitkan kepada Najib..." Demikian coretan pelakon dan dramatis terkenal, Khalid Salleh siang tadi.
Dalam catatan yang sederhana panjang di Facebook Khalid mengulas mengenai laporan sebuah akhbar arus pedana yang meminta rakyat negara ini "bertenang dan bersatu" menangkis segala tuduhan walau pegangan politik masing-masing berbeza.
Sikap itu, lapor akhbar berkenaan, diperlukan kerana "kebenaran" suatu ketika nanti akan terbukti kerana perdana menteri akan mencari jalan bagi menangkis segala tuduhan yang ditujukan kepadanya.
Khalid yang sering dipanggil Wak Khalid itu berkata, kebenaran tidak perlu dicari, apa lagi digunakan untuk menangkis segala tuduhan.
"Kebenaran adalah kebenaran ia berdiri sendiri dengan wajah dan ciri-ciri kebenarannya," kata Khalid.
Beliau yang pernah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Asia Pasifik memberikan analogi najis untuk menjelaskan kenyataan mengenai "kebenaran" itu.
Apa jenis najis pun, kata Khalid, semuanya berbau busuk, atau setidak-tidaknya membawa konotasi atau gambaran keburukan.
"Misalnya tahi judi, tahi betina, tahi dadah, tahi rasuah dan macam-macam tahilah. Itulah bau atau wajah kebenaran tentang tahi. Jadi kebenaran apa yang perlu dicari untuk menangkis atau menutupi kebenaran tahi itu?" katanya.
Jangan main borong
Khalid mengaku fikirannya terganggu apabila pemimpin meminta rakyat bertenang dan bersatu untuk menangkis tuduhan yang disasarkan kepada perdana menteri.
Rakyat tak ada sangkut paut dengan isu yang berbangkit atau yang sedang marak menjadi bahan perbualan di mana-mana.
"Isunya adalah Datuk Seri Najib si Perdana Menteri yang dikaitkan dengan 1MDB dan beberapa perkara yang saya sendiri tak berkenan mahu menyebutnya di sini," katanya.
Pada masa sama, Khalid berpendapat rakyat memang sedang "panas menggelupur" kerana ditekan dengan pelbagai bebanan cukai, selain keperitan akibat kenaikan harga minyak dan barangan lain.
"Harga tol naik dan tak akan pernah dihapuskan selagi pemimpin masih tetap membesarkan tembolok dan kepentingan peribadi," katanya.
Justeru, kata Khalid, sekali lagi perlu ditegaskan bahawa rakyat tidak ada sangkut paut dengan isu 1MDB sebaliknya tuduhan yang dikaitkan dengan Najib.
"Rakyat tak tahu-menahu pun apa itu 1MDB. Jadi tidak ada sebab untuk rakyat bersatu menangkis segala tuduhan...Rakyat tidak pernah terlibat dengan isu 1MDB beb, masya-Allah... janganlah main borong dan sedap rasa saja...
"Saya teringat puisi arwah Usman Awang antara bunyi tulisannya: Siakap senohong, gelama, ikan duri. Bercakap bohong lama-lama jadi menteri....
"Apakah ini kebenaran atau perlu mencari kebenaran lain untuk menangkis kebenaran puisi Usman Awang itu..." tulis Khalid.

