Omar Sharif kini tinggal nama, kenangan
Bintang kelahiran Mesir yang diingati kerana wataknya dalam filem Lawrence of Arabia dan Doctor Zhivago , Omar Sharif, meninggal dunia di usia 83 tahun, sebentar tadi.
Pernah memenangi anugerah Golden Globe dan dicalonkan untuk Oscar kerana wataknya sebagai Sheriff Ali, Sharif awal tahun ini disahkan menghidap penyakit Alzheimer's.
Ejen Sharif, Steve Kenis berkata aktor itu mengalami serangan jantung di sebuah hospital di Kaherah.
Aktor Sepanyol Antonio Banderas yang berlakon bersama Sharif dalam filem The 13th Warrior pada 1999 menganggap beliau sebagai "salah seorang pelakon terbaik".
Sharif lahir sebagai Michel Shalhoub di Iskandariah pada April 1932 dan menuntut di Akademi Seni Drama Diraja di London.
Kemunculan pertamanya dalam filem ialah pada 1954 melalui filem terbitan Mesir, Siraa Fil-Wadi dan keberkesanan lakonannya menjadikan dia bintang sekelip mata di negara itu.
Kemuncak kerjayanya tiba apabila dia berlakon filem Lawrence of Arabia .
Peter O'Toole yang turut sama membintangi filem berkenaan menganggap nama Sharif sebagai "mengarut" lalu memanggilnya dengan nama Fred.
Kedua-dua mereka kemudian menjadi sahabat karib.

