Nicky Hilton dan tunangnya berkahwin di kediaman Duke dan Duchess di Cambridge, istana Kensington malah turut mengenakan gaun perkahwinan yang mendapat inspirasi dari Kate Middleton.

Di hari perkahwinan Nicky dan pewaris pemilik bank James Rothschild, dia memakai gaun koleksi Valentino Haute Couture mengagumkan yang bernilai AS$77,000 (RM292,007) dengan potongan leher yang tinggi dan mempunyai leretan gaun ditambah dengan  kain berenda.

Gaun itu mempunyai renda pada lengan, perincian pada badan baju, bahagian pinggang yang berikat dan skirt berjela mengingatkan kepada gaun yang pernah dipakai oleh Kate ketika perkahwinannya pada 2011.

Perbezaan ketara dilihat pada kedua-dua gaun berkenaan – garis leher Kate yang luas – dan Nicky tidak memakai mahkota bertahta intan permata.

Sehubungan itu, jurucakap agensi fesyen Valentino mendedahkan butiran gaun Nicky yang direka oleh Pengarah Kreatif Maria Grazia Chiuri dan Pierpaolo Piccioli.

“Gaun perkahwinan Velentino Haute Couture dihasilkan dengan tiga berwarna gading yang berbeza dan renda perak dihiasi hablur.

“Badan baju dijahit pada akhir skirt yang berbelon dengan leretan sepanjang tiga meter. Vel panjang pula disulam dengan renda vintaj,” katanya.

Kebiasaannya, pengantin perempuan merahsiakan sebarang maklumat mengenai gaun pengantin sehari sebelum majlis berlangsung, namun Nicky mendedahkan rekaan pereka terkenal itu dalam wawancara menjelang perkahwinannya.

“Memang sejak kecil saya ingin Valentino jadi pereka gaun perkahwinan saya. Valentino definisi keanggunan abadi, tiada busana anggun yang seumpamanya,” katanya.

Nicky dan Rothschild bertunang sejak Ogos 2014 dan mengikat tali perkahwinan depan rakan dan keluarga di The Orangery di istana Kensington Jumaat lalu.

Di hari perkahwinan itu, Paris Hilton adik Nicky mengiringinya dengan memakai gaun biru muda manakala pembawa bunganya kelihatan cantik dalam rekaan mewah dari pereka pakaian kanak-kanak Marie Chantal.