Nasib artis veteran: Sudah berusia malang pula
Sebilangan besar artis veteran ini pernah menikmati masa gah apabila nama mereka begitu dikenali, namun apabila masa bertukar dan usia menginjak 50-an segalanya nampak menyukarkan.
Secara mudahnya, masalah mereka ialah kekurangan tawaran berlakon. Puncanya pula ada pelbagai.
Timbalan Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) Rahim Jailani ( gambar ) berkata tidak cukup dengan itu, nasib mereka lebih malang kerana dalam sebahagian produksi watak orang tua sudah mula diisi pelakon yang lebih muda berbanding mereka.
“Sudah menjadi trend dalam rancangan televisyen apabila pelakon muda diubah menjadi tua.
“Apa peluang pelakon veteran untuk membawa watak sebagai emak, bapa atau nenek dalam hal ini?” katanya.
Rahim berkata, kurangnya tawaran berlakon juga mungkin dilihat berlaku kesan kegawatan ekonomi kerana di pihak penerbit sendiri, jumlah produksi mereka juga dilihat tidak serancak dulu,
"Sekarang sudah masuk Julai, biasanya ketika ini adalah bulan rancak penerbitan. Saya yakin hal ini berpunca daripada kemelesetan ekonomi," katanya.
Untuk mengatasi masalah artis veteran itu, Rahim berkata, PKAVM akan berusaha memastikan golongan terbabit tetap selesa meneruskan kehidupan mereka.
Katanya, antara langkah diambil, persatuan itu akan mengadakan sebanyak mungkin kunjungan hormat dan mengadakan perbincangan dua hala dengan jabatan kerajaan serta stesen televisyen tempatan.
Rahim juga memberi contoh langkah yang boleh diambil kerajaan bagi artis veteran terutama yang uzur atau mengalami masalah kesihatan.
“Pihak berkenaan boleh memberi bantuan perubatan kepada anggota persatuan ini umpamanya dari segi wad dan perbelanjaan hospital,” katanya.

