Membaca tajuknya saja, pasti buat ramai tertanya apakah wujudnya seseorang yang jatuh dari langit?
Selepas menonton Suamiku Jatuh Dari Langit , anda akan faham memang benar, Awie (Qi Razali) 'jatuh dari langit’ seusai anak dara ketua kampung, Asyikin (Nora Danish) memanjatkan doa mengenai jodohnya.
Untuk mengulas filem sepanjang hampir dua jam ini sebenarnya agak mencabar juga.
Disebabkan lokasi tayangan yang terhad, anda mungkin perlu memandu sehingga ke Bukit Raja di Kelang, Selangor. Jika bernasib baik, selamatlah daripada menempuh kesesakan lalu-lintas di Lebuhraya Persekutuan.
Kewujudan ungkapan "Suamiku" pada filem ini nampaknya masih berjaya membuat sesetengah orang terpanggil untuk menonton walaupun banyak filem lain juga menggunakan perkataan "suami". Ia dikuatkan lagi dengan gimik pintar penerbit menggabungkan judul itu dengan sesuatu yang luar biasa - jatuh dari langit.
Nora dapat watak macam biasa
Sebaik babak pertama bermula, penonton sudah mengetahui mengapa filem ini diberikan judul sedemikian. Sedikit kecewa di situ kerana penonton mungkin mengharapkan adegan berkenaan dibiarkan di penghujung cerita untuk mengekalkan momentum saspens.
Nampaknya pengarah, Eyra Rahman, ada pendapat berbeza.
Teraju utama Qi Razali yang dulunya bekas pemain dram kumpulan OAG dan hos rancangan televisyen sebagai lurus bendul rasanya masih boleh digilap lagi.
Watak Nora Danish pula sememangnya tidak asing lagi buatnya kerana acapkali dia diberi watak gadis sopan dan lemah lembut. Watak itu bersesuaian dengan Nora dan tidak dinafikan dia berhasil memberi persembahan yang baik tiap kali membawa peranan gadis Melayu.
Filem ini tidak lengkap tanpa watak pembantu yang penting untuk menghidupkan cerita bergenre komedi romantik ini. Dengan adanya Kaza (Pak Bidin si ketua kampung), Syuk dari kumpulan Balas (Mus) dan Atikah Suhaimie (Wani, adik Asyikin) dalam filem ini, ia berjaya membuatkan penonton tidak tertidur ketika menonton.
Bagi jalan cerita pula, sudah menjadi perkara biasa untuk membuat komedi dengan menggunakan watak lelaki menjadi perempuan. Ada juga adegan yang benar-benar mencuit hati terutamanya ketika Awie dan Mus menyamar untuk memperdaya orang kampung.
Sesuai sebagai hiburan
Unsur komedi diselang-seli dengan mesej padat sedikit sebanyak membuat kita kagum dengan jalan cerita sebegini. Kerana biarpun bermotifkan hiburan, namun pengarah tidak melupakan nasihat berunsur agama, budaya dan moral untuk disampaikan kepada penonton.
Suamiku Jatuh Dari Langit ini adalah taruhan komedi pertama Eyra Rahman selepas sebelum ini dia banyak menghasilkan filem bergenre romantik ( Aku Terima Nikahnya ) dan seram ( Pengantin Malam ).
Dalam bahasa mudah, Suamiku Jatuh Dari Langit sesuai sebagai hiburan sempena cuti Aidilfitri.
Filem terbitan Metrowealth International Group ini mula ditayangkan sejak 1 Syawal lalu.
Sinopsis Filem
Asyikin, gadis kampung yang taat kepada bapanya (Pak Bidin), berlainan sedikit dengan adiknya Wani (Atikah Suhaime) yang mempunyai kuat sifat memberontak.
Pak Bidin seorang ketua kampung yang menitikberatkan soal agama dan dia sering dirujuk bagi menyelesaikan masalah penduduk kampung.
Asyikin gadis yang single dan saban hari berdoa dirinya dipertemukan dengan jodoh yang baik, berbanding Wani yang dalam diam berpacaran dengan seorang pemuda kampung yang bermasalah, Mus.
Awie baru saja dibuang kerja dan sering kesempitan wang, lalu menggunakan jalan pintas dengan meminjam wang daripada ah long, Daddy Cool (David Teo) namun kehidupannya malang selepas kehilangan wang berkenaan.
