Halim beralih arah selepas 'sampai seru'
Nama Halim Othman sebagai juruhebah radio popular memang tidak asing lagi, namun sejak kebelakangan ini semakin kurang namanya diingati.
Rupa-rupanya dia tidak lagi seakrab dulu dengan dunia konti, sebaliknya kian berjinak-jinak dengan bidang penyediaan diri dan mengendalikan seminar.
Anak kelahiran Kemaman, Terengganu itu dilihat mempunyai pengisian yang penuh dalam rutin hariannya.
Dia bukan saja memberi latihan dalam seminar, malahan dia juga menjadi sebahagian daripada tenaga pengajar Universiti Kolej Metropolitan Kuala Lumpur (KLMUC) bagi jurusan penyiaran televisyen dan radio sekali seminggu.
Halim yang sebelum ini menjadi penyampai rancangan Breakfast@Suria antara jam 6 hingga 10 pagi berkata, dia masih menjadi penyampai Suria FM untuk rancangan sukan Grandstand bersama Naim Tahak yang ke udara setiap Sabtu dan Ahad.
Bekas juruhebah yang mulai terkenal di stesen radio ERA itu dilihat yakin bahawa pekerjaannya sebagai penyedia latihan seminar bakal menjadi ‘santapan’ untuk tahun-tahun mendatang.
"Saya sudah berkecimpung dalam bidang ini sekurang-kurangnya tiga atau empat bulan. Saya menggemari tugas ini dan mungkin bermula tahun depan, saya akan melakukannya dengan lebih lagi,” katanya.
Ditemui Malaysiakini baru-baru ini, Halim berkata peralihan bidang daripada penyiaran - yang diceburinya sekurang-kurangnya 15 tahun - kepada dunia akademik sebagai "sampai waktunya".
“Saya mahu beri peluang kepada diri sendiri. Cuba memiliki kehidupan normal, waktu pagi bersarapan dan boleh bangun lewat. Selama 15 tahun saya tidak dapat buat semua itu,” katanya.
Perlu 10 tahun
Kata Halim, negara juga memerlukan program latihan seperti yang dikendalikannya - merangkumi kemahiran pengucapan awam, cara mengenali diri sendiri, mengawal panik, mencari impian yang betul dan reformat diri.
Program yang dijalankan bersama rakannya, Dr Ahmad Yusri Bani Hashim itu didakwanya mendapat sambutan dan amat memberangsangkan.
Bagi Halim, dengan keadaan negara ini sekarang, orang ramai perlu sesuatu yang dapat melahirkan keyakinan positif dan mereka juga digalakkan untuk menyertai latihan sebegitu sekurang-kurang sekali sebulan.
Sebagai anak kelahiran Terengganu yang berhijrah ke Kuala Lumpur, dirinya berasa terlalu banyak cabaran ketika pertama kali menjejakkan kaki ke kota raya.
Pengalaman baru juga dialami ketika dia muncul dalam program radio dan televisyen.
"Saya perlukan sekurang-kurang 10 tahun untuk benar-benar mampu menuturkan bahasa Melayu tanpa dialek Terengganu," katanya.
Menyentuh mengenai kehidupan berumahtangga pula, Halim yang lama membujang hanya menyerahkan soal jodoh kepada Allah.
“Kali ini saya serahkan pada Tuhan. Sebelum ini saya terlalu banyak bicara mengenainya dan ia tidak menjadi," katanya.

