Biasanya kurang diberi perhatian di negara ini, kehalusan muzik tradisional Malaysia tetap sering mendapat perhatian di negara luar.

Kejayaan penuntut Universiti Teknologi Petronas (UTP) merangkul tempat kedua dalam Pertandingan dan Festival Korus Antarabangsa Istanbul di Turki minggu lalu sepatutnya menjadi peringatan bahawa muzik tradisional negara sebenarnya sangat unik.

Lebih istimewa, kumpulan dinamakan sebagai Petra itu terdiri daripada penuntut jurusan kejuruteraan UTP dan bersaing dengan sembilan kumpulan lain yang hebat-hebat belaka.

Festival itu anjuran Harmanchorus – sebuah pertubuhan kebudayaan di Turki - diadakan pada 23 Julai lalu.

Biarpun hanya mencuba nasib, seramai 12 penuntut menganggotai Petra (kependekan "pemuzik tradisional") itu gigih menjalani latihan setiap malam bermula sejak Ramadan lalu untuk memberikan persembahan bagi kategori instrumen terbaik di hadapan juri dan penonton yang bukan sebangsa.

“Saja cuba nasib sebab naib timbalan canselor minta sertai.

“Dia banyak menjadi tulang belakang, dan sering memberi sokongan,” kata Solihin K Ahmad, 21, salah seorang anggota Petra ketika dihubungi Malaysiakini .

Solihin baru saja tiba di Malaysia semalam dari Istanbul.

Kata Solihin, semua anggota Petra lelaki berusia antara 19 hingga 26 tahun dan penuntut tahun pertama hingga akhir di UTP.

Katanya, mereka bukanlah orang yang mahir bermain alat muzik tradisional malah ada yang perlu dilatih dari peringkat awal.

Timbalan Naib Canselor UTP dimaksudkan Solihin tadi ialah Mohamed Noor Rosli Baharom yang menjadi penyokong kuat Petra.

Kata Solihin, Mohamed Noor adalah indivdu pertama melontarkan idea supaya mereka menyertai festival di Istanbul itu.

Ia digerakkan pula oleh tenaga pensyarah Zaidin Md Noor, selaku guru muzik kokurikulum di UTP.

Di Istanbul mereka mencabar pemuzik dari Rusia, Hungary, Estonia, Bulgaria, Romania, Eropah, Croatia dan Iran.

Petra mempertaruhkan dua irama di situ, iaitu joget ( Joget Batu Pahat dan Pucuk Pinang ) serta zapin ( Hari Ribut dan Bunga Hutan ) yang sekali-sekala diselangi tarian untuk menampilkan kelainanan.

Tempat pertama dimenangi peserta Bulgaria – National School of Folk Arts, manakala tempat ketiga milik peserta Iran.