Apabila nama pelakon Ben Affleck diumumkan akan beraksi dalam filem Batman v Superman: Dawn of Justice dua tahun dulu, kebanyakan peminat tidak berpuas hati.

Menjelang tayangan filem itu di seluruh dunia, baru diketahui pemilik nama itu pernah meragui kewajaran dia membawa peranan sebagai Dark Knight.

Menurut media, keupayaan bukan faktor membuatkan aktor itu berfikir lebih daripada sekali, sebalilknya melihat kepada umurnya yang kini 42 tahun dan mungkin tidak bersesuaian menjadi Bruce Wayne.

Pun begitu, pengarah Zack Snyder mempunyai pendapat berbeza.

Snyder akhirnya berjaya memujuk pemenang Oscar itu untuk memainkan peranan adi wira berkenaan selepas meyakinkan umur Affleck ( gambar ), dia bakal memberi kelainan kepada Dark Knight.

“Pengarah memberi idea konsep Batman yang semakin berusia, lemah dan jemu.

“Ia sesuatu yang saya sendiri tidak pernah lihat. Kita pernah lihat Batman sebagai seorang yang mampu melangkaui sempadan untuk menyelamatkan orang. Vigilante menjadi sebahagian karakter, dan kami cuba untuk memainkan fikiran penonton apabila ia perlu menghadapi sesuatu yang berbahaya seperti Superman,” kata Affleck.

Sebelum ini Affleck membintangi filem Gigli dan Daredevil , tetapi hasilnya amat mengecewakan penonton.

Kata aktor itu, kelainan dibawa kali ini dengan adanya watak Batman yang sudah menjangkau usia 45 atau 46 tahun.

"Ia menjadi lebih mencabar apabila watak itu menderita dengan krisis dalaman selepas dua dekad terbabit dalam aktiviti berkaitan jenayah," katanya.

Menurut Snyder pula, dia mahu penonton menerima Batman sudah sampai pada tahap baru dalam hidup dan kariernya sebagai adi wira.

Superman pula, katanya, dipaparkan mengalami beberapa perubahan prinsip dan menjadi anjakan baru untuk Batman.