Roddy si peniup begpaip meninggal dunia
Penggusti terkenal suatu ketika dulu, 'Rawdy' Roddy Piper meninggal dunia pada usia 61 tahun, lapor media hari ini.
Jurucakap World Wrestling Entertainment Inc (WWE) berkata penggusti yang sering muncul di atas gelanggang dengan alat muzik begpaip itu mati dalam tidur.
Jay Schachter berkata WWE amat terkejut dan begitu sedih kerana kehilangan "seorang lelaki baik dan rakan sejati.
"Dia antara orang yang baik hati, ikhlas dan jujur pernah saya kenali. Ia memang satu kehilangan buat kita semua,” tulisnya melalui e-mel.
Piper atau nama sebenar Roderick George Toombs ketika hayatnya memang terkenal sebagai salah seorang penggusti ‘jahat’ dan WWE menobatkan dia sebagai penjahat sukan paling hebat ketika masih aktif.
Mengikut sejarah, Piper mula berjinak-jinak dalam industi gusti pada 1969 dan menyertai lebih 7,000 perlawanan sebelum mengumumkan persaraannya pada 2011.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif WWE Vince McMahon berkata, Piper satu daripada penggusti paling menghiburkan, kontroversi dan hebat dalam sejarah badan itu.
"Dia disayangi jutaan peminat di seluruh dunia.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarganya,” katanya.
Nama Piper dimasukkan ke WWE Hall of Fame 2005 sederet dengan penggusti lain seperti Hulk Hogan, Bret Hart ‘Hit Man’ dan The Iron Sheik.
Bukan hanya gusti, Piper turut menempa nama di layar perak pada 1980-an.
Dia digelarkan wira lawak dalam filem satira politik dan fiksyen sains arahan John Carpenter, They Live.
Dalam filem itu Piper membawa watak pekerja kolar biru yang menemui makhluk asing dan mengawal minda manusia.
Dia juga turut menjadi hos Piper’s Pit dan WWE menyifatkannya sebagai rancangan temu bual paling mengapi-apikan penggusti lain.

