Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Switch Off 14: Pada Salleh Gafim letak harapan

Menteri bertukar bersilih ganti namun harapan tetap di hati.

Begitu harapan Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Jurey Latiff Rosli yang masih berharap tuntutan mereka dalam kempen Switch Off 14 tertunai.

Dihubungi Malaysiakini , Jurey Latiff berkata Gafim berdoa agar rombakan kabinet dibuat Datuk Seri Najib Razak minggu lalu turut membawa sinar kepada golongan penggiat seni negara.

“Kami percaya menteri baru yang bertanggungjawab dalam isu ini dapat membantu merealisasikan 11 perkara yang dituntut dalam kempen Switch Off 14 ," katanya.

Kempen itu diadakan pada 11 November 2014 dengan bantahan ditunjukkan melalui aksi mematikan suis televisyen selama tiga jam mulai 8 malam.

Selain kecewa dengan "penindasan" terhadap pekerja industri kreatif negara, mereka juga menggesa kerajaan campur tangan bagi mengatasi masalah kadar bayaran rendah oleh stesen televisyen tempatan.

Ketika itu Kementerian Komunikasi dan Multimedia diketuai  Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Dengan rombakan kabinet pada 28 Julai lalu Ahmad Shabery dipindahkan ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Tempat beliau digantikan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak .

Menurut Jurey Latiff, dia yakin Salleh boleh menyelesaikan isu berkenaan.

"Beliau (Salleh) mempunyai karakter yang menyentuh hati dan mempunyai kredibiliti sebagai seorang menteri berjiwa rakyat.

“Dia pernah menjadi pengerusi Finas, maka dia lebih memahami," katanya.

Jurey Latiff juga menganggap Salleh seorang menteri yang mesra, ramah serta terbuka untuk turun padang berjumpa penggiat seni.

Pada 11 November lalu berlangsung malam solidariti dan pertemuan penggiat seni di Dataran Zoo Negara Hulu Kelang.

Ia turut disokong perlbagai pertubuhan termasuk Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM)dan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM).

Tuntutan mereka dalam kempen Switch Off 14 itu ialah:

  • Mewujudkan Akta Industri Kandungan Kreatif
  • Menekankan hak harta intelek lebih adil dan munasabah
  • Menaikkan kadar bayaran dan menyelaraskan harga belian kandungan di stesen televisyen
  • Pengagihan slot televisyen lebih adil dengan 70 peratus adalah kandungan tempatan
  • Penguatkuasaan polisi MIM ( Made In Malaysia ) dan Padu Citra (syarat mewajibkan pelakon, pekerja dan pengarah filem menyertai persatuan diiktiraf Finas)
  • Menubuhkan badan atau pusat sehenti yang mengawal selia secara langsung industri televisyen
  • Melantik wakil industri dipersetujui oleh penggiat industri  dalam membuat dasar serta keputusan berkaitan
  • Menyediakan slot televisyen yag mengkhususkan kandungan berbentuk patriotik serta mendaulatkan budaya bangsa
  • Skim pengecualian cukai bagi syarikat korporat yang terbabit
  • Skim insurans khusus untuk penggiat industri
  • Dana dan geran khusus bagi memajukan kandungan industri televisyen negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS