Anggota Spice Girls, Mel B, membayangkan kemungkinan kumpulan pop Inggeris itu akan bergabung sekali lagi menjelang dua dekad usia lagu single mereka, Wannabe , pada tahun depan.

Spice Girls menjadi kumpulan wanita paling popular pada 1990-an dianggotai lima wanita jelita - Mel B atau Scarry Spice (Melanie Brown), Sporty Spice (Melanie Chisholm), Baby Spice (Emma Bunton), Ginger Spice (Geri Halliwell) dan Posh Spice (Victoria Beckham).

 

Namun peminat mungkin perlu bersabar lebih lama.

Di sebalik kenyataan Mel B itu, Emma pula menyatakan komitmen kepada keluarga dan jadual harian masing-masing menjadi penghalang penggabungan semula kelima-lima anggota Spice Girls.

 

Dalam pada itu, Mel B menyatakan ia kini menjadi 'tugasnya' untuk merealisasikan pertemuan semula kumpulan yang diasaskan pada 1994 itu.

 

Mel B memberitahu Jimmy Fallon (pengacara rancangan televisyen Saturday Night Live ) awal bulan ini, masanya sudah tiba untuk penggabungan istimewa Spice Girls.

 

Dia juga membuat kenyataan itu dalam rancangan televisyen AS, The Today Show kelmarin.

 

“Bila kamu kata ulang tahun ke-20 kami sudah hampir, ia benar-benar buat kamu berfikir - oh tuhan, ia sudah begitu lama.

Tetap saling menyukai

 

“Semoga kami berjaya mengumpulkan semua ahli dan dapat berbuat sesuatu untuk menyambutnya tahun depan,” katanya.

 

Bagaimanapun, Mel B kata itu hanyalah perancangannya dan setakat ini tidak pasti mengenai reaksi anggota lain.

 

Mel B mengingatkan kumpulan itu memberi sejuta satu kenangan sepanjang mereka bersama dari 1994 sebelum semua membawa haluan sendiri secara rasmi pada 2000.

 

Katanya, melalui Spice Girls dia berpeluang menjelajah dunia bersama rakan baik dan hingga kini mereka masih lagi menyokong satu sama lain.

 

“Kami suka satu antara sama lain, itu yang paling penting,” katanya.

 

Awal tahun ini, Emma memberitahu the Daily Star kejayaan pertemuan Spice Girls bergantung kepada pendekatan masa yang sesuai.

 

“Saya bertemu Geri dan Mel B baru-baru ini, kami sayang satu sama lain dan mahu membuat persembahan bersama.

“Ia akan berlaku bila masanya sesuai kerana kami mempunyai kerjaya sendiri sekarang dan berkeluarga, semuanya memerlukan penyatuan lima jadual,” katanya.