Jennifer, Theroux kahwin mengejut
Pelakon Jennifer Aniston mengikat tali perkahwinan selepas tiga tahun bertunang dalam satu upacara mengejut baru-baru ini.
Aniston, 46, dan suaminya - juga pelakon - Justin Theroux secara rasmi sah bergelar suami isteri dalam satu majlis tertutup di rumah agam pasangan itu di Bel Air.
Majlis itu yang pada awalnya dilangsungkan hanya sebagai sambutan hari ulang tahun kelahiran ke-44 Theroux, namun suasana bertukar apabika seorang paderi dijemput naik ke pentas.
Upacara kecil-kecilan di kediaman pasangan itu dihadiri kira-kira 70 orang tetamu saja.
Bekas pelakon siri televisyen Friends , Lisa Kudrow, Chelsea Handle dan Howard Stern antara rakan Jennifer yang turut hadir.
Mengimbau detik pasangan itu mula berkenalan dan akhirnya bercinta, mereka bertemu dalam percutian Jennifer di Hawaii pada 2008.
Theroux ketika itu menjalani penggambaran Tropic Thunder.
Pada 2011 Jennifer dan Theroux menjadi lebih akrab, dan selepas bersama-sama membintangi Wanderlust pada musim panas berikutnya, bibit percintaan mulai bersemi sebelum mereka membuat keputusan bertunang pada 2012.
Kehidupan romantik Jennifer sentiasa menjadi buruan media sejak dia berpisah dari suaminya Brad Pitt pada 2006.

