Selebiriti Paris Hilton berazam untuk membantu anak yatim di seluruh dunia selepas melawat sekumpulan kanak-kanak malang di India baru-baru ini.

Hal itu disedari Paris, 34, selepas melihat sendiri secara dekat sebuah rumah anak yatim menempatkan penghidap Aids yang ketika itu mengadakan lawatan ke Asia.

Melihatkan persekitaran kanak-kanak terbabit, hati Paris tersentuh sekaligus berniat mahu mengabdikan diri membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik itu.

“Ada sebuah rumah di India tempat kanak-kanak tidak beribu dan bapa kerana mereka mati akibat Aids dan penyakit itu turut menjangkiti anak malang berkenaan.

“Semua yang ada di dalam rumah itu sakit.

"Sangat memilukan hati melihat kanak-kanak itu ditinggalkan tanpa keluarga dan apa-apa," katanya seperti dipetik majalah New You .

Paris yang lebih diingati kerana pergaulan bebasnya berbanding bakat dalam seni berkata, penduduk setempat juga melayan kanak-kanak terbabit dengan buruk hanya kerana penyakit dihidapi.

"Ia benar-benar menyedihkan,” katanya.

Bermula dari lawatan itu, Paris berazam untuk melawat setiap rumah anak yatim di setiap negara yang dikunjungi - atas alasan - untuk memanjakan mereka dengan hadiah dan permainan.

Untuk menghiburkan, Paris membelikan mereka permainan dan alat projek seni.

Ternyata dia melakukan tindakan betul kerana kanak-kanak malang berkenaan sangat menyukainya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Paris menjawab dia akan menggunakan popularitinya  untuk membantu anak yatim di seluruh dunia.

“Saya tahu saya mempunyai suara untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan. Saya akan benar-benar mendedikasikan hidup untuk perkara ini pada tahun akan datang.

"Saya bekerja keras dan mempunyai hati yang baik,” katanya.