Ulasan filem: Impian semut memusnah 'dacing'
Sejak bersantai menonton Ant-Man bersama anak-anak dan deretan sepupu-sepupu mereka, saya telah menulis lima sajak yang secara langsung menyebut "semut" di dalamnya.
Saya menyebut santai kerana tidak terlintas langsung untuk saya menulis apa-apa tentang filem itu, yang kata seorang teman, "menonton filem Marvel, tinggalkan sahaja kepala otak di luar panggung."
Saya rasa kawan itu silap. Saya terinspirasi dengan Ant-Man, juga dengan pelbagai episod panas dan gawat dalam pentas politik tanahair sejak berlalunya Ramadan yang lebih menenangkan.
Sebagai penyair, saya terbayang-bayang sajak saya dibaca dan difahami jutaan umat semut dan seterusnya memimpin semut-semut itu menumpaskan rejim jahanam berlogo dacing.
Malaysia kemudian diselamatkan dari bankrup ekonomi dan moral.
Tapi saya sedar, penyair takkan mampu menggerakkan massa. Tapi orang politik boleh. Dan orang politik yang kita harapkan pada masa ini bukan Anwar Ibrahim. Dalam Ant-Man , Anwar adalah watak Dr Hank Pym yang dibawa oleh Michael Douglas.
Tiada pemimpin muda
Walaupun masih kekal kacak (malah lebih kacak daripada pembawa watak Ant-Man ), Hank adalah orang tua. Tua adalah tua. Kerja memberontak dan mengemudi massa adalah kerja orang muda. Dr Pym tetap menjadi otak, perancang dan jika boleh digunakan istilah Arab, murabbi .
Tapi beliau perlu merekrut orang muda untuk mengemudi rakyat.
Dan itulah masalahnya. Setakat ini tidak kelihatan pemimpin muda yang benar-benar boleh memakai suit Ant-Man dan mengetuai rakyat. Sekurang-kurangnya itu yang saya lihat di kalangan pemimpin muda pembangkang hari ini.
Kita cuma ada susuk seperti Tony Pua, Rafizi Ramlil dan Nik Nazmi Nik Ahmad tapi saya melihat keterbatasan mereka untuk mengemudi rakyat dalam skala besar. Adakah susuk mmuda dalam Harapan Baru seperti Dr Mujahid Yusof dan Suhaizan Kaiat boleh diberi harapan?
Kita mengharap. Dan harapan kita hanya boleh menjadi kenyataan jika mereka benar-benar inginkannya.
Dan kita - semut-semut itu - juga perlu yakin kita boleh memberikan impak kepada suasana dan nasib negara, bukan sedakar penonton. Ant-Man yang bakal memimpin semut-semut (rakyat) itu nanti perlulah betul-betul mahu melakukannya.
Mereka bukan sekadar pemimpin yang sekadar beretorik dan lebih sibuk memikirkan keselamatan kedudukan mereka dalam parti sendiri. Dan lebih penting ia perlulah diterima oleh semua spesies semut - hitam, merah, boleh terbang mahupun tidak.
Ant-Man perlu boleh menguasai bahasa semut. Pemimpin rakyat perlu menguasai bahasa rakyat.
Rakyat mahukan perubahan tapi tidak meyakini pemimpin yang tidak turun ke akar umbi.
Besar boleh jadi kecil
Bercakap bahasa derita tentunya tidak cocok ke hulu ke hilir dalam Vellfire atau motosikal berkuasa tinggi misalnya. Atau sekadar jadi penghibur dengan tuit-tuit ala merakyat tentang bola sepak, Manchester United dan Liverpool. Itu mengada-ngada dan rakyat tahu siapa mengada-ngada dan siapa tidak.
Kita sudah biasa mendengar frasa 'politik adalah persepsi'. Saya setuju. Dan dalam Ant-Man kita belajar melihat persepsi dari sudut yang tidak biasa kita lihat. Dari persepsi seekor semut misalnya - apabila adegan menarik landasan keretapi mainan boleh menjadi tempat pertarungan nyawa bagi Ant-Man.
Begitulah dalam kehidupan, ada sesuatu yang kecil bagi sesetengah orang, adalah benda besar bagi orang yang lain. Dan sebaliknya.
Apa yang lebih menarik, dengan menekan butang yang betul - benda yang besar boleh jadi kecil. Benda yang kecil boleh jadi besar. Inilah bagi saya, kemahiran yang perlu ada untuk seorang ahli politik dan pemimpin yang berjaya.
Tak boleh tunggu lagi
Isu-isu seperti 1MDB, kejatuhan nilai ringgit, campurtangan luar biasa terhadap SPRM dan sebagainya - kita perlukan pemimpin yang boleh memetik butang yang betul dan mencampakkan mainan ini menjadi sebuah kereta api yang besar dan menghempap Putrajaya.
Kita tidak boleh biarkan Najib memetik butang mengecilkannya lalu hilang menjadi debu di bawah karpet mahal di Seri Perdana.
Dalam post-credit scene Ant-Man, ada memaparkan watak Hope (Avengeline Lily), anak gadis Dr Pym ditunjukkan dengan pakaian baru yang bakal menjadikan dia superhero baru? Oh, saya sukakan superhero wanita.
Tapi rakyat tidak boleh menunggu seorang lagi anak gadis Anwar menjadi superhero untuk memimpin mereka. Kita perlukan aksi-aksi itu sekarang, sebelum nasi menjadi bubur....
NAJMUDDIN YUSOFF seorang eksekutif telekomunikasi yang meminati sastera, seni dan filem.

