Suara hati Najwa Mahiaddin untuk Malaysia
Diterbitkan ketika berlaku pergolakan politik dalam negara dan segera pula mendapat perhatian ahli politi k, lagu After The Rain nyanyian Najwa Mahiaddin didakwa karya bersifat umum untuk rakyat Malaysia menjadi tabah.
Mengandungi lirik yang memberi inspirasi, lagu itu adalah karya terbaru Najwa yang dimuat naik dalam akaun Facebooknya pada 6 Ogos lalu.
Bercakap kepada Malaysiakini , Najwa berkata, dia mahu memberi motivasi kepada orang ramai supaya bersikap tabah menghadapi setiap dugaan yang ada.
Mengulas mengenai lagu itu, penyanyi berkelulusan Kolej Muzik Berklee itu ada pendapatnya sendiri mengenai ungkapan “in these trying times” pada status yang turut dimuatnaik bersama klip video berkenaan.
“Mesej yang saya cuba sampaikan semasa menyanyikan lagu itu adalah supaya orang ramai jangan berputus asa dan tabah menghadapi pelbagai dugaan semasa,” katanya.
Pinta penyanyi berusia 29 tahun itu, seluruh rakyat Malaysia diharap terus mendapat kekuatan dalam melalui tempoh yang sukar.
Enggan mengulas lanjut, Najwa cuma berkata, irama After The Rain yang dihasilkan pada November itu bukan hanya memfokus pada satu perkara khusus saja.
Hasrat bekerjasama
Sebaliknya, Najwa membayangkan, irama dan lirik After The Rain itu dipengaruhi pelbagai perkembangan yang berlaku dalam dan luar negara.
Jika diambil kira kenyataan itu, Malaysia memang berdepan beberapa krisis besar, termasuk tragedi MH17 ditembak jatuh di Ukraine dan yang terbaru, pergolakan politik negara.
Menceritakan lebih lanjut proses menyiapkan lagu berkenaan, Najwa berkata, ia bermula apabila dia didatangi oleh Juny Brothers – antara pemuzik yang sering bekerjasama dengannya untuk persembahan langsung – dan menyatakan hasrat untuk bekerjasama.
“Selepas membaca liriknya, saya tersentuh dan mahu menjadi sebahagian daripada lagu itu dan menyampaikan mesej.
“Kami duduk bersama - seluruh kumpulan Juny Brothers, saya, dan produser untuk - menyiapkan lagu itu,” katanya.
Kuasa pemulihan
Klip video sepanjang kira-kira lima minit itu memang dirancang untuk disiarkan Ogos sempena bulan kemerdekaan dan sesuai dengan unsur perangsang dibawa lagu bekenaan.
Antaranya, mesej perpaduan, kekuatan semangat, tidak berputus asa dan cintakan negara.
Lagu dan video yang dirakam pada November dan Disember tahun lalu itu setakat hari ini, mendapat like sekurang-kurangnya 15,000 dalam Facebook, selain ditonton pelayar YouTube sekurang-kurangnya 102,000 kali.
Najwa berkata, dia percaya lagu mempunyai ‘kuasa’ untuk memulihkan pendengarnya.
Justeru, kata Najwa, After the Rain diharap dapat menjadi "penyembuh" rakyat Malaysia.
“Saya percaya dengan kekuatan muzik dan kuasanya untuk menyembuhkan. Semoga lagu ini memberi ketenangan dan kekuatan kepada kita menempuh dugaan,” katanya.
Bersama status dimuat naik dalam Facebooknya, Najwa turut menulis empat baris lirik dari korus After the Rain:
“We may all fall down
but we all get up
hold your head up Malaysia
after the rain comes the sun."
Lagu itu turut disertakan hashtag #KeepYourHeadUpMalaysia dan #AfterTheRain.
Najwa pernah memenangi kategori Artis Baru Terbaik dan Lagu Inggeris Terbaik di Anugerah Industri Malaysia ke-18 pada 2011.
Beliau juga adalah pemilik syarikat Nada Biru Muzik dan setakat ini menerbitkan dua album sendiri, Innocent Soul (2011) dan Aurora (2014).
Temubual ini dijalankan NADIA AZAM bersama AL-ABROR MOHD YUSUF dan NORMAN GOH

