Goodbye Najib ekspresi NAO kepada rasuah
Dalam suasana politik Malaysia kekal hangat ini, kumpulan muzik indie tempatan NAO telah menerbitkan sebuah musik video untuk mengucap "selamat tinggal" kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Muzik video berjudul Goodbye Najib itu dimuat naik pada 30 Julai lalu di YouTube dan ditonton lebih 11,600 kali setakat tengah hari ini.
Goodbye Najib adalah gubahan instrumental dan ringan, dimainkan menerusi kombinasi gitar elektrik, bass dan dram.
Di akhir video muzik terpapar satu tempayan (tempat abu mayat) dengan gambar Najib di atasnya dan disertakan dengan perkataan "rasuah".
Suara hati rakyat
Pemain gitar kumpulan NAO, Yap Lian Tat - atau lebih mesra dikenali sebagai Tat Mo - berkata walaupun ramai rakyat marah dengan keadaan politik semasa, mereka tidak berani menyuarakan perasaan berkenaan secara terbuka.
"Maka, NAO berharap lagu ini dapat menyampaikan perasaan rakyat yang sudah terpendam lama.
"Inilah suara hati rakyat. Mereka mahu mengucap bye bye kepada pemimpin negara," kata Tat Mo kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
Mengenai paparan tempayan di akhir musik video, Tat Mo ( gambar ) berkata imej Najib itu dimasukkan hanya sebagai salah satu simbol rasuah.
Mengenai irama lagu yang ringan, Tat Mo berkata ia bertujuan untuk menunjukkan perasaan yang gembira dan selesa selepas segala rasuah dan penyelewengan ditinggalkan.
"Ada kawan tanya saya, perasaan rakyat terhadap keadaan politik kini adalah geram dan marah, kenapakah lagu Goodbye Najib selesa didengar?
"Saya jawab, kerana kami ingin langkah ke depan. Ramai orang takut untuk berubah, namun lagu kita bertujuan untuk meluahkan perasaan selesa apabila segala rasuah ditinggalkan," jelasnya.
Beliau berharap lagu ini dapat menggalak rakyat berani untuk membuat perubahan demi masa depan yang selesa.
Tat Mo berkata lagu Goodbye Najib sebenarnya telah siap digubah sebelum pilihan raya umum pada 5 Mei 2013.
Ciptaan tak takut dihukum
Namun, katanya, rakyat dilihat masih belum bersedia untuk mengucap selamat tinggal kepada Najib pada masa itu walaupun pola pengundi Cina dilihat bertukar angin.
"Mungkin rakyat masih ingin memberi peluang kepada pemimpin negara untuk melihat prestasi pemerintahannya, maka kami tidak melancar video muzik ketika itu.
"Namun kini, pengundi Melayu pun rasa Najib tak boleh diharapkan. Maka kami memilih untuk melancarkan lagu ini," jelasnya.
Ditanya sama ada bimbang dikenakan apa-apa tindakan, Tat Mo yakin ramai pencipta seni telah mendapat inspirasi ciptaan daripada Najib sebelum ini.
"Saya tak takut dikenakan tindakan. Sebagai seniman, kita perlu mencerminkan isu semasa menerusi seni ciptaan kita.
"Saya turut berharap lagu ini dapat membantu membuka ruang kebebasan bersuara," katanya.
NAO merupakan satu kumpulan muzik indie Cina tempatan yang biasanya menggunakan gubahan lagu berasaskan isu semasa dan politik.

