Terasa sudah dijangka naratifnya, kisah penuh aksi dan 'pertumpahan darah' dalam filem Southpaw memangberakhir dengan sesuatu yang mudah diramal sejak babak awal bermula.

Benci, marah dan dendam menjadi pembakar semangat dalam Southpaw , ia menceritakan kisah kebangkitan seorang petinju yang mengalami tragedi pahit akibat kematian isteri secara tiba-tiba.

Penulis skrip Southpaw seumpama tidak ada alasan lebih baik untuk mengembangkan watak utama, Billy “The Great” Hope (Jake Gyllenhaal) ketika dia digambarkan perlu memperbaiki kehidupannya yang merudum, terutama selepas kematian isteri Maureen (Rachel McAdams).

Nasibnya bertambah malang dengan kehilangan hak penjagaan terhadap anak perempuannya Leila (Oona Laurence).

Klise dan stereotaip - itulah jalan cerita Southpaw.

Sarat melodrama

Melalui Southpaw , pengarah memaparkan aspek kemasyuran, tragedi, kegagalan, proses bangkit semula dan kemudian kejayaan yang dilihat sinonim sebagai satu perjuangan dalam kehidupan seorang lelaki sekali gus bapa tunggal yang tidak perlu berakhir tanpa sebab.

Southpaw juga ‘kaya’ dengan unsur melodrama yang menyentuh perasaan.

Bagaimanapun filem arahan Antoine Fuqua dan skrip ditulis oleh Kurt Leon Sutter ini adalah karya yang boleh memberi inspirasi kerana sarat membawa mesej positif.

Antaranya, unsur pengajaran itu boleh dilihat apabila Hope berusaha untuk mengawal kemarahan dengan bekerja di sebuah gimnasium di bawah seliaan Titus "Tick" Wills  (Forest Whitaker).

Ganjaran berkelakuan baik itu, Hope berjaya memenangi hati Leila dan mendapat hak penjagaan anaknya semula.

Fuqua dengan sentuhannya ke atas karya bergenre aksi memang bukan asing. Antara filem yang pernah diarahkan olehnya termasuk The Replacement Killers (1998) Shooter (2007), The Brooklyn's Finest (2010), Olympus Has Fallen (2013) dan Equalizer (2014).

Leila terasa hambar

Bermodalkan sifat lurus bendul Hope, watak yang dibawa oleh Gyllenhaal itu begitu terkait dengan emosi ekoran tidak dapat menerima kematian Maureen. Namun, hasil penat lelah Hope begitu mengagumkan selepas berjaya memberikan lakonan dua dalam satu yang begitu mantap – petinju yang melakukan babak aksinya sendiri dan pada masa sama, seorang bapa yang begitu kasih pada anaknya.

Watak Maureen pula digambarkan sebagai isteri yang terlalu mengambil berat suaminya sebelum berakhir dengan kematian.

Filem ini mahu mengajar penonton bahawa di sebalik kejayaaan Hope, ada Maureen.

Watak Maurenn dimainkan oleh Rachel dengan baik sekali apabila berjaya menimbulkan keserasian sebagai satu pasangan.

Bagaimanapun, watak Leila agak hambar kerana tidak dapat menunjukkan keakraban antara anak dan bapa, walhal anak-beranak itu begitu menyanyangi satu sama lain.

Fiem terbitan DreamWorks itu didekasikan kepada penyanyi rap Eminem yang diintai untuk membawa watak utama pada awalnya. Southpaw diinspirasikan berkisarkan pengalaman dan perjuangan penyanyi rap berkenaan.