Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Selepas Gandhi, Kingsley jadi pemandu teksi
Diterbitkan:  Aug 17, 2015 8:30 AM
Dikemaskini: 5:41 AM

Tiga puluh tahun selepas berjaya membawakan watak Gandhi, Ben Kingsley muncul sekali lagi di layar perak sebagai pemandu teksi keturunan Sikh yang mencari rezeki di New York.

Melalui watak Darwan Singh Tur itu, penerbit filem Learning To Drive cuba menceritakan realiti seorang pemandu teksi dalam era pascatragedi 9/11.

Turut mewarnai filem yang akan ditayangkan minggu ini di AS ialah aktres pernah dicalonkan untuk anugerah Oscar, Patricia Clarkson dan pelakon Mississippi Masala, Sarita Choudhury.

Selain menjadi pemandu teksi, Kingsley, 71, juga digambarkan sebagai tenaga pengajar sekolah memandu yang baik hati serta bangga dengan asal-usulnya.

Darwan menetap di New York selepas mendapat suaka politik di AS.

Melalui filem berkenaan penonton diajak memikirkan suasana komuniti Sikh yang berdepan isu diskriminasi kaum di AS, terutama selepas bangunan Pusat Dagangan Dunia ranap pada 11 September 2001.

Bercakap dalam rancangan bual bicara Jimmy Fallon, Kingsley memuji komuniti Sikh di New York terutama kerana bantuan diberikan kepada penduduk kota raya New York selepas insiden meggemparkan itu berlaku.

"Saya harap selepas filem ini ditayangkan, anda akan lebih menghargai komuniti Sikh yang ditemui, serta memikirkan masa silam serta perjalanan hidup mereka," katanya.

Menurut Kingsley, sejurus selepas tragedi 9/11 berlaku komuniti Sikh yang menjadi pemandu teksi di New York mengetepikan kepentingan diri dan menawarkan khidmat secara percuma kepada penduduk setempat membantu mereka mencari ahli keluarga yang belum ditemui.

Salah satu babak filem itu memaparkan dua remaja menghamburkan kata-kata kejian terhadap Darwan tetapi pemandu teksi itu kelihatan tenang.

Sesuai dengan kebolehannya - yang terbukti melalui anugerah Oscar pada 1982 - Kingsley kelihatan amat menjiwai watak diberikan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS