Penyanyi Alicia Keys selesa menyembunyikan sifat kewanitaannya kerana dia takut berhadapan dengan lelaki.

Dalam entri blog Revelation, Alicia atau nama sebenarnya Alicia Augello Cook tampil mendedahkan saat sukar 'perjuangan' yang dilalui sebelum selesa dengan keadaan dirinya sekarang.

Penyanyi berusia 34 tahun itu mendakwa disebabkan bentuk tubuh badannya yang berisi, dia sering mendapat perhatian yang tidak diperlukan.

“Ia bermula sejak saya di sekolah lagi apabila guru mulai memberi perhatian lebih kepada saya dan rakan-rakan pula mengejek kerana 'perbezaan' saya,” katanya.

Perkara itu berlanjutan hingga Alicia dewasa.

Dia ‘menyembunyikan’ dirinya sedikit demi sedikit kerana lebih selesa tidak berhadapan dengan perhatian yang diberikan, terutama daripada lelaki.

Ada perbezaan ketara

Tanpa mekap, tanpa lipstik warna terang atau gaun cantik, penyanyi Fallin’ itu berasakan dengan ‘bersembunyi,’ masalahnya akan berkurangan.

Masih berbekas dalam fikirannya dia diganggu ketika berjalan sendirian di New York, ada beberapa lelaki bersiul dan mengekorinya.

“Saya mulai sedar perbezaan ketara daripada cara lelaki memandang, terutama apabila memakai jeans atau mengenakan skirt serta mengikat rambut dengan cantik.

“Saya dapat rasakan perbezaan itu, malah menyedari naluri haiwan yang ada pada lelaki dan itu menakutkan saya," katanya.

Ia mencetuskan revolusi dalam gaya penampilan Alicia – dia mula bercakap dan bergaya ala lelaki, bertocang panjang serta berseluar jeans longgar sebaik bergelar artis.

Bagaimanapun, pesona baru itu mengubah persepsi masyarakat hingga timbul spekulasi mengenai seksualitinya.

Akibatnya dia digelar pula sebagai gay walhal dia bukanlah seperti yang disangkakan. Dan sekali lagi, Alicia menyembunyikan dirinya.

Dengan percubaan tampil feminin, Alicia mengenakan gaun. Namun, imej kali itu bukan saja buat dirinya keliru malah masyarakat juga tidak mengenali siapa dirinya yang sebenar.

Bagi artis yang pernah memenangi Anugerah Grammy untuk kategori Album R&B Terbaik 2014 itu, dia selesa untuk menyorokkan kepandaian, bentuk fizikal, realiti diri dan buah fikirannya.

 Tetapi dia mulai sedar, perkara itu tidak mungkin boleh disembunyikan selamanya

Alicia menegaskan, dia sudah jemu menyembunyikan bentuk tubuh badannya dan segala perkara yang menghalangnya untuk menjadi seorang wanita yang luar biasa.

 “Saya tidak perlu bersembunyi lagi dan berpura-pura. Saya tidak perlu takut kebijaksanaan, dan kecantikan ini mengancam orang lain. Saya tidak fikir ia sesuatu yang tidak boleh dibanggakan. Tak perlu pedulikan sesiapa! ” katanya.