Hadiah bernilai RM27,000 disediakan kerajaan Selangor untuk menghargai golongan penulis melalui Hadiah Sastera Selangorkini tahun ini.

Mengumumkan perkara itu, Exco Kebudayaan Selangor Amirudin Shari ( gambar ) berkata, akhbar rasmi kerajaan negeri, Selangorkini mengambil inisiatif mewujudkan lembaran seni dan budaya sejak minggu pertama Disember 2014.

Inisiatif itu, katanya, bertujuan untuk menawarkan tulisan bernilai sastera dan mempunyai kandungan pemikiran bermutu kepada rakyat Selangor saban minggu.

"Setelah hampir lapan bulan diwujudkan, pelbagai respons positif diterima baik, daripada pembaca mahupun kelompok penulis. Ruangan tersebut telah membuka peluang kepada penulis-penulis muda dan mapan untuk menghantar karya mereka di dalam bentuk cerpen, puisi dan juga esei.

"Sehubungan dengan itu, selari dengan perancangan awal kewujudan ruangan seni dan budaya itu, saya mengumumkan bahawa Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor 2015 dengan kerjasama SelangorKini akan mengadakan Hadiah Sastera SelangorKini 2015," katanya di sidang media di Shah Alam hari ini.

Hakim bebas dipilih

Amirudin berkata, Hadiah Sastera SelangorKini memberi penghargaan kepada lima tulisan terbaik dalam tiga kategori iaitu cerpen, puisi dan esei yang terbit dalam SelangorKini .

Setiap pemenang utama bagi semua kategori, katanya, akan menerima hadiah berjumlah RM5,000 manakala empat karya lain akan menerima saguhati RM1,000.

Kata Amirudin, semua karya yang tersiar antara Disember 2014 hingga Oktober 2015 layak dinilai bagi hadiah tersebut.

"Kerajaan negeri akan memilih panel hakim bebas dan mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing untuk menilai setiap penyertaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarang SelangorKini, Fazallah Pit ( gambar, kiri ) berkata, kira-kira 60 penulis yang menghantar karya ke SelangorKini dan disiarkan berpeluang untuk memenangi hadiah ditawarkan.

"Kita mendapat respon baik daripada penulis terkenal termasuk yang pernah menerima pelbagai anugerah seperti Roslan Jomel, Rahaini Mohd Saaid, Daeng Ramli‎ Akil dan Haizir Othman.

" SelangorKini juga merancang untuk menerbitkan sebuah buku bagi menghimpukan karya-karya yang dinilai sebagai pemenang," katanya.

Tambah beliau, acara kemuncak bagi penyampaian hadiah dijangka diadakan pada Disember ini dan bakal disempurnakan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.