Setelah dihitung segala keperitan dan kepayahan mencipta empayar sendiri, kumpulan Wings berpendapat, sangat wajar peminat dihadiahkan dengan 'festival' bagi meraikan ulang tahun ke-30 penglibatan mereka dalam dunia rock.
Justeru, penyanyi kumpulan itu Awie mengumumkan Wings akan mengadakan konsert khas memperingati sambutan tahun ke-30 mereka menjadi anak seni.
Konsert itu dijadual diadakan pada 31 Oktober ini.
"Konsert itu bukanlah sekadar acara biasa, tetapi akan diadakan dalam skala besar dengan persiapan yang diatur rapi. Acara bakal berlangsung dari siang hingga ke malam," katanya malam tadi.
Awie dan anggota lain kumpulan Wings - Joe, Eddie dan Black - ditemui media pada sambutan ulang tahun ke-30 Wings di Hotel Swiss Garden, Kuala Lumpur.
Sambutan itu turut dihadiri selebriti lain, termasuk Datuk Hattan, Erra Fazira, Ziana Zain dan Man Bai.
Penuhkan Stadium Merdeka
Untuk menghiburkan peminat, kata Awie, Wings akan memainkan 30 lagu daripada 12 album yang pernah mereka terbitkan.
Katanya, sambutan itu diadakan di Stadium Merdeka mulai jam 2 petang.
“Ia seolah-olah acara sehari bersama Wings," katanya.
Untuk memeriahkan program mereka menyediakan ruang kepada penyanyi baru atau buskers menunjukkan bakat masing-masing membawakan lagu Wings.
Pengisian lain adalah pameran dan perarakan motosikal berkuasa tinggi.
“Kita akan penuhkan balapan stadium itu dengan motosikal.
“Setakat ini kami mendapat reaksi amat memberangsangkan. Penunggang dari Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan bersetuju untuk datang dengan kenderaan masing-masing ke Kuala Lumpur," katanya.
Untuk segmen Tribute to Wings pula, Awie menjelaskan mereka masih memilih nama artis yang akan dijemput serta lagu yang akan dipersembahkan.
“Mungkin penyanyi seperti Datuk M Nasir, Ramli Sarip, Ella akan mengisi segmen berkenaan," katanya.
Penjualan tiket secara atas talian bermula 24 Ogos pada harga RM85 dan RM285, manakala RM48 khusus untuk pelajar.
Pembelian tiket juga boleh dibeli melalui agen khas yang dilantik sepanjang Jelajah Kembara Wings di setiap negeri.
