Dari Bintang Ke Bintang gopoh mencari klimaks
Sasterawan Negara Datuk Dr Usman Awang sepatutnya ditafsir sebagai sasterawan memiliki kelembutan tetapi tegap melawan. Pada masa sama peribadinya ada sisi kemanusiaan yang amat kuat.
Namun ia semacam gagal diterjemah dalam pementasan teater Dari Bintang Ke Bintang yang berlangsung di Wisma Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) di Wangsa Maju sehingga 4 Oktober ini.
Melihat persembahan selama hampir satu jam itu, Dari Bintang Ke Bintang arahan bersama Fauziah Nawi dan Iryanda Mulia itu bagai kekurangan aura untuk menyampaikan mesej Usman melalui puisi-puisinya yang tetap mengesankan.
Naskhah itu dipentaskan untuk kali keempat selepas ia dipertontonkan untuk kali pertama pada 1998.
Bagi mana-mana persembahan teater, biasanya penonton yang memahami meletakkan harapan tinggi sebelum ia bermula kerana seni persembahan sepatutnya mengangkat keunikan seni itu sendiri.
Teater yang baik adalah keserasian antara naskhah padu dan garapan lakonan mantap. Maka kemudian terhasillah emosi untuk diserap deria penonton.
Tetapi aspek itu hanya berada pada lingkungan ruang amat kecil sehingga ia sukar dihadam, lebih-lebih lagi kepada mereka yang 'jauh' dari karya-karya Sasterawan Negara ketiga itu.
Memang usaha terpuji
Sebagai tokoh yang berkecimpung lebih 20 tahun dalam seni persembahan teater, tidak keterlaluan jika dikatakan 'air tangan' Fauziah kali ini agak lemah daripada aspek estetika teater itu sendiri.
Teater seharusnya ada cerita yang jelas walaupun digarap melalui naskhah adaptasi, kecuali jika pementasan itu hanya digelar sebagai dekon (deklamasi dan lakonan). Atau mungkinkah gabungan pengucapan puisi,
di-aji-no-moto-kan
dengan elemen muzik, nyanyian, tarian dan lagu itu memang diletakkan sebagai satu persembahan terlalu tinggi nilai abstraknya?
Audien pastinya memahami secara umum pementasan ini mengangkat perjuangan si Tongkat Warrat melalui teks-teks sajaknya. Itu memang usaha terpuji yang tidak semua penggiat teater mahu dan berminat mempersembahkannya.
Namun secara keseluruhan, kepuasan tidak dapat dinikmati pada kali ini.
Akhirnya penonton keluar panggung tanpa rasa, tanpa kesan pada jiwa kerana tiada apa pun yang boleh dijiwai melainkan mereka menghadam pengucapan puisi oleh para pelakon.
Pengucapan pelakon sebenarnya kelihatan tidak selari dengan suara Usman. Sisi lain persembahan kira-kira 40 minit itu juga dilihat tidak melambangkan roh pengkaryaan penulis berjiwa besar kelahiran Kuala Sedili itu.
Lebih 20 sajak dipilih
Peminat seharusnya memahami, Usman adalah penyair berjiwa kental yang menulis dalam bait-bait kata bernada lembut. Sajak Usman "mendidik" tetapi pada masa sama menyeru supaya "bangkit melawan".
Usman juga sepatutnya dilihat sebagai internasionalis, bukannya nasionalis.
Di atas pentas,
Dari Bintang Ke Bintang
kelihatan kontradik dengan Usman.
Babak-babak disusun melibatkan kisah zaman Kesultanan Melayu, kejatuhan kerajaan Melaka, era penjajah dan pascamerdeka tetapi garapannya dilihat tergesa-gesa bagaikan larian seorang anak muda yang ingin segera tiba di garis penamat.
Sebagai peminat seni, penulis tetap berbangga dan menghargai teks sastera sebegitu diangkat ke pentas teater untuk dinikmati dengan cara berbeza berbanding program klise mendeklamasi sajak.
Untuk makluman, lebih 20 puisi Usman dijadikan inti pati kepada skrip Dari Bintang Ke Bintang ini dan ia dipersembahkan tanpa mengganggu struktur dan perkataan-perkataannya.
Usaha bersama ITBM, Dewan Bahasa dan Pustaka, Yayasan Usman Awang dan Stefani Events untuk terus menghidupkan naskah karya tokoh-tokoh sastera tanah air itu perlu diteruskan dengan lebih meluas di masa akan datang.
Teater ini dijayakan 11 pelakon, iaitu Raja Emy Shahril, Mohsein Mohyi, Raouf Arif, Afnan Shahir, Iellyas Fietrie, Raja Muhammad Hafiz, Jali Masari, Ieka Simone, Norafyda, Syeera Ishak dan Shafinaz Mohd Shah.

