Jika tiada aral melintang, Bila mungkin berpeluang muncul dalam konsert ulangtahun ke-30 kumpulan Wings di Stadium Merdeka penghujung bulan ini.

Bila atau nama sebenarnya Nurnajmi Nabila Samsaidi adalah satu - satunya peserta wanita yang berjaya mara ke peringkat akhir Akademi Fantasia (AF) 2015.

Tiga lagi finalis pelajar lelaki - Sufi, Shahrul dan Syamel - yang akan berentap merebut gelaran juara dengan Bila dalam konsert peringkat akhir itu yang akan diadakan pada 9 malam ini di Auditorium MBSA Shah Alam.

Bapa Bila, yang juga pemain bass kumpulan rock itu, Eddie, berkata semuanya bergantung kepada jadual anak perempuannya itu kelak.

"Semuanya masih dalam perancangan," katanya kepada Malaysiakini.

"Wings tidak ada masalah, cuma kita tidak tahu tahap kesibukan Bila selepas ini dan perkara itu tidak dapat diputuskan sebab dia masih lagi peserta Akademi Fantasia," katanya lagi.

Bila menjadi perhatian dalam AF kali ni kerana kemampuan vokalnya yang bertenaga di sebalik tubuh badannya yang besar.

Keadaan itu mungkin menjejaskan persepsi orang ramai untuk menerima Bila sebagai penyanyi namun selama berminggu-minggu dalam AF, bakat sebenar pelajar yang berusia 19 tahun itu semakin terserlah.

Kata Eddie, ketika Bila baru saja tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia pernah bertanya apakah perancangannya selepas ini.

Dia hanya menjawab: "Adik mahu rileks dan jadi penyanyi."