Penyanyi Datuk M Nasir akan meneruskan konsert kembara solonya ke lokasi terakhir pada 7 November di Shah Alam.

Menurut M Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad, konsert kali ini mempunyai keunikan yang tersendiri berbanding sebelumnya.

“Konsert ini akan lebih besar daripada sebelumnya yang sudah dibuat.

“Saya harap ia akan lebih bertenaga dan menghiburkan,” katanya di sidang media di Damansara semalam.

Sebelum ini, konsert Kembara telah diadakan ke tiga lokasi lain iaitu di Kuantan, Pahang Pasir Gudang, Johor dan Kepala Batas Pulau Pinang.

Konsert yang akan diadakan pada 7 November nanti bertempat di Stadium Malawati Shah Alam.

Terkenal dengan jolokan sifu dan seniman serba boleh, M Nasir juga mempunyai bakat melukis.

Atas kebolehan melukis itulah, suami kepada pelakon Marlia Musa itu akan akan mengekspresikan bakatnya itu sekali lagi di atas pentas.

Cari bakat baru

Apa yang menarik kali ini , M Nasir akan menyanyi sambil melukis.

Bagaimanapun, M Nasir tidak mengulas lanjut bagaimana ia akan dilaksanakan kerana tidak mahu memecahkan elemen kejutannya.

Di konsert Kembara itu nanti, turut diadakan program Luncai Emas Talent Search atau Let’s Nyanyi .

Ia sebuah program mencari bakat baru dan ujibakat pentas itu terbuka kepada semua peringkat umur.

Let's Nyanyi sudah dimulakan di Kuantan pada 24 Mei lelu, selain di Pasir Gudang dan Pulau Pinang.

Ia dilaporkan mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.

Pentas uji bakat itu akan dibuka sekali lagi pada 7 November nanti.

Matlamat utama program itu adalah untuk mencari penyanyi yang akan bernaung di bawah syarikat M Nasir sendiri iaitu Luncai Emas.

Dalam pada itu, M Nasir berkata, ada beberapa kriteria amat dititikberatkan dalam pengambilan artis yang bakal menjadi anak didiknya.

“Mahu jadi penyanyi kena ada penampilan yang boleh menghiburkan.

“Kalau boleh menyanyi saja, tidak ada penampilan, itu tidak boleh.

“Kalau tidak, tidak boleh dan itu satu tuntutan besar yang saya cari.

'Terus terang, saya risau tapi...'

Bagaimanapun, menurutnya, peserta yang berasakan diri berbakat masih boleh mencuba dan masih berpeluang untuk memenangi hatinya.

Sementara itu mengulas mengenai saingan kuat daripada beberapa konsert yang akan diadakan oleh beberapa artis lain pada masa terdekat, Ketua Pemasaran dan Pegawai Jualan Celcom Axiata Berhad Zalman Aefendy Zainal Abidin menganggap M Nasir masih mempunyai kehebatannya tersendiri.

“Terus terang, saya risau juga tetapi kami mempunyai kekuatan iaitu M Nasir sendiri.

“Ia boleh dilihat dari konsert sebelum ini, cara pemasaran dan promosi yang baik.

Konsert Kembara akan diterajui oleh Pengarah Muzik Aznan Alias dan akan diiringi ramai pemuzik dan penyanyi latar profesional yang akan membawa rangkaian lagu hits M Nasir termasuk beberapa lagu ketika zaman kegemilangan bersama kumpulan Kembara.

Antaranya ialah Hijab Kekasih, Sang Pencinta, Bonda, Apokalips dan Rajawali.

Acara pembukaan pula akan diserikan dengan penyanyi Fynn Jamal yang akan membawakan lagu, antaranya Arjuna Beta dan Terbang Tunduk.