Adam Levine temui peminat nombor 1
Masih ingat kanak-kanak perempuan yang menangis apabila diberitahu 'kekasih hatinya' Adam Levine sudah berkahwin?
Kanak-kanak itu - Mia - dirakam meraung apabila ibunya memberitahu Levine sudah beristeri.
Media hari ini melaporkan, pengacara Ellen DeGeneres mempunyai cara tersendiri untuk membatu seseorang - termasuk Mia - mencapai impiannya.
Ellen menjemput Mia, 3, dan ibunya ke studio untuk berbual mengenai klip video yang menjadi viral itu.
Sejurus kemudian Ellen menyerahkan pakaian kanak-kanak yang memaparkan wajah Levine kepada Mia.
Tanpa disangka Ellen juga mempelawa Levine untuk menjadi tetamu istimewa program berkenaan.
Melihatkan reaksi Mia ketika diberitahu mengenai status Levine, tidak sukar meramalkan apa yang berlaku apabila dia berpeluang bersemuka secara langsung dengan penyanyi kumpulan Maroon 5 itu.
Mahu tapi malu
Tetapi sebenarnya Mia tidak teruja - atau kelihatan kurang teruja - sebaliknya amat malu apabila Levine keluar dari belakang pentas bersama sekuntum bunga.
Selepas menerima bunga mawar itu Mia memeluk Levine sebelum kembali memusingkan badannya untuk didukung ibunya.
Mia kemudian terus memeluk ibunya ketika Levine, 36, bercerita mengenai pengalamannya melihat klip kanak-kanak itu kepada Ellen.
"Ia menyedihkan saya, tetapi dia tetap comel," katanya.
Kata Levine, semua rakan dan kenalannya menghantar klip Mia menangis itu tetapi orang yang mula-mula memaklumkan 'kekecewaan' kanak-kanak itu tidak lain adalah isteri penyanyi itu sendiri yang juga model dari Namibia, Behati Prinsloo.
Kata Levine, Behati, 26, sendiri mengakui Mia seorang anak yang menawan.

