Penyanyi popular 90-an ditahan bawa 'pistol'
Seorang penyanyi popular era 1990-an ditahan polis kerana dipercaya memiliki 'senjata api' kira-kira jam 1.45 pagi tadi.
Menurut sumber penyanyi tersebut berada dalam sebuah kereta Proton Gen-2 berwarna hitam ketika ditahan di laluan susur masuk ke Kampung Chubadak Sentul.
Penyanyi itu dilaporkan bersendirian ketika ditahan anggota polis yang bertugas ketika itu.
Kata sumber, ketika pemeriksaan dijalankan tiada sebarang objek atau bahan larangan ditemui, kecuali sepucuk 'pistol' berwarna hitam dengan kesan tulisan Walther cp99 Compact padanya.
'Senjata' itu dikatakan ditemui di kiri tempat duduk pemandu.
Semakan lanjut pula, kata sumber, mendapati artis berusia 46 tahun itu pernah memiliki rekod kesalahan dadah pada 2004.
Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke balai polis di Sentul.
Sementara itu Ketua Polis Sentul ACP R Munusamy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, senjata itu bukanlah pistol sebenar sebaliknya tiruan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
"Polis akan menjalankan ujian air kencing terhadap suspek.
"Kami sudah mendapat kebenaran untuk menahan reman lelaki itu sehingga esok," katanya.

