Soo 'lebur' setengah juta demi Simply Inwinccible
Diuji dengan penganjur menarik diri, Soo Wincci tidak menunjukkan tanda goyah malah menunjukkan tanda 'melawan' dengan cara tersendiri.
Wincci yang pernah mewarnai pertandingan memasak MasterChef Selebriti Malaysia edisi 2012 menyatakan, dia akan mengeluarkan wang sendiri - berjumlah RM500,000 untuk memastikan konsert Simply Inwinccible itu tetap berlangsung.
Konsert berkenaan akan diadakan pada 31 Oktober ini di Dewan Plenary Hall, KLCC.
Bekas ratu cantik yang kini berusia 29 tahun itu berkata dia tidak bercadang untuk membatalkan konsert itu walaupun berdepan dengan pelbagai kesukaran.
Malah, katanya, ketegasan itu dibuat ketika ibu bapanya kelihatan lebih cenderung 'mengalah'.
"Saya akan memastikan konsert ini tetap berlangsung seperti dirancang kerana saya perlu mengekalkan reputasi sebagai penyanyi profesional," katanya.
Jika konsert Simply Inwinccible itu dibatalkan, kata Wincci, dia akan kehilangan kepercayaan peminat dan orang ramai.
Semuanya kerana dia sudah berjanji untuk mengadakan konsert berkenaan walau apa pun yang menghalang.
"Kepercayaan orang ramai dan reputasi tidak boleh dijual beli dengan wang," katanya.
Nama Wincci sebenarnya bukanlah asing walaupun dia kini menetap di luar negara.
Baru-baru ini dia menarik perhatian ramai apabila menyampaikan mesej yang agak luar biasa untuk kebanyakan artis di negara ini, iaitu mendesak Datuk Seri Najib Razak berundur daripada jawatannya sebagai perdana menteri.
Kenyataan itu mendorong beberapa penaja yang sudah memberikan persetujuan membiayai konsert Simply Inwinccible menarik diri .

