Selepas kejayaan The Journey pengarah Chiu Keng Guan mengalih perhatian kepada sesuatu yang baru dan nostalgik - berkisah tentang kegemilangan bola sepak yang pernah dinikmati skuad kebangsaan suatu ketika dulu.

Melalui Ola Bola , Chiu beralih angin dengan mengeksplorasi tema kesukanan - yang dekat dengan dirinya - yang diinspirasikan dari era 1970-an.

Harapannya, biarlah Ola Bola juga mencatat kejayaan seperti The Journey yang menjadi filem pecah panggung dengan kutipan tiket dan kejayaan merangkul pelbagai anugerah dalam festival filem.

Tidak seperti The Journey, Ola Bola ditampilkan dengan mengutamakan bahasa Melayu, selain campuran di sana sini dengan bahasa Inggeris, Tamil, Mandari, Kantonis dan Hokkien.

Namun di sebalik itu Chiu ada matlamat lain - mahu mengembalikan kenangan orang ramai kepada zaman gemilang bola sepak Malaysia.,

“Saya amat berbangga dengan zaman emas bola sepak terdahulu.

"Sebab itulah saya mahu mengembalikan era kegemilangan berkenaan (melalui Ola Bola ),” katanya semasa ditemui di sidang media filem itu yang diterbitkan Astro Shaw di Kuala Lumpur kelmarin.

Dulu nama mengharum

Ola Bola menampilkan gabungan barisan pelakon baru dalam mapan, termasuk Bront Palarae ( gambar ) membawa watak Rahman yang bertugas sebagai pengulas sukan, Chee Jun Cherng sebagai Tauke, Muhd Luqman Hafidz Fauzi sebagai Ali dan Saran Kumar Manokaran sebagai Muthu.

Ia menceritakan kejayaan dan kekentalan semangat ditonjolkan pemain bola sepak untuk berjuang demi mengharumkan nama negara.

Bola sepak Malaysia pernah mencatat sejarah harum suatu ketika dulu apabila menjadi antara pasukan gergasi Asia.

Ketika itu bukanlah aneh untuk Malaysia mengalahkan Jepun atau Korea Selatan - dua negara yang kini sudah muncul beberapa kali dalam saingan Piala Dunia.

Walaupun Ola Bola menceritakan dunia bola sepak sebenar suatu masa dulu, setiap karakter yang muncul dalam filem berkenaan adalah rekaan semata-mata.

Kerana percaya dengan keunikan dimiliki oleh bola sepak, Chiu juga menjadi antara jutaan peminat yang menjadikan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari sebagai idola.

Chiu sendiri pernah menjadi penyerang utama pasukan bola sepak di sekolahnya.

Dengan minat mendalam itulah Chiu terdorong untuk menghasilkan filem yang diharapnya mampu memberi inspirasi dan membangkitkan semangat juang dalam generasi muda ketika ini.

Menurut Chiu, dia membawa misi penting apabila cuba memberi sentuhan terbaik ke atas Ola Bola .

“Saya mahu menyuntik semangat ke dalam diri anak muda agar mereka kembali percaya kepada skuad bola sepak negara kita,” katanya.

Habiskan banyak masa

Kebanyakan generasi sekarang, kata Chiu, tidak mengenali siapa hero dalam skuad kebangsaan yang pernah mengharumkan nama negara satu ketika dahulu.

Sejak awal pembabitannya menjadi pengarah, Chiu mengakui memang dia memasang niat untuk membikin filem yang bertemakan sukan bola sepak.

Jadi tidak salah untuk mengatakan, Chiu berjaya merealisasikan impiannya itu dalam Ola Bola yang akan menemui peminat pada 2016.

Namun, tidak mudah untuk 'menghidupkan semula' zaman seperti itu. Banyak masa diambil untuk mengkaji setiap aspek sebelum ia boleh divisualkan dan ditayangkan di layar perak.

“Kami habiskan masa lebih dari setahun dan antaranya untuk menemui bekas pemain kebangsaan dan bekas pengulas sukan.

“Bukan itu saja, kami perlu mencari maklumat mengenai era itu dalam surat khabar lama, arkib, atau perpustakaan kerana tidak semuanya boleh diperoleh menerusi capaian Google,” katanya.

Selain itu, gambaran persekitaran juga perlu realistik. Lokasi, bangunan, pakaian dan gaya rambut juga perlu selaras dengan era 1970-an.

Menurutnya, pada zaman dulu banyak bangunan yang mungkin sudah tidak wujud lagi sekarang, atau diberikan warna baru.

Untuk kesesuaian latar masa, katanya, struktur itu perlu 'dipadamkan' daripada layar perak.

“Saya buat begini kerana sukar untuk mencipta semula zaman seperti itu," katanya.

Kerana itu, Chiu meletak kepercayaan kepada pakar kesan khas visual dari Argentina, sinematografi udara dari Australia, pos produksi dari Taiwan dan pengarah fotografi Chin Ting Chang untuk menyiapkan Ola Bola .

“Bukan tidak percaya dengan produksi tempatan tetapi saya mahu belajar dari tenaga luar.

“Ia semata-mata mahu belajar supaya selepas ini kita boleh menghasilkan kemahiran itu sendiri," katanya.

Menjelaskan perkara itu, Chiu berkata, tenaga pakar dari Argentina dan Australia itu mempunyai pengalaman luas di Hollywood, selain pos produksi diberikan kepercayaan kepada bekas pemenang anugerah audio di Taiwan.