Orang Asli seluruh dunia berfestival di M'sia
Buat julung kalinya satu Festival Kesenian Orang Asli dan Pribumi dianjurkan bagi menarik kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa ke dalam negara.
Gandingan erat Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) menjayakan festival anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur berjaya menggamatkan ibu negara dengan kemeriahan tersendiri.
Festival yang julung kalinya diadakan ini dibuat sempena Tahun Festival Malaysia 2015.
Ia berjaya mengumpulkan Orang Asli dan Pribumi dari lapan negara iaitu Ghana, Indonesia, New Zealand, Kanada, China, Filipina, Thailand dan juga Malaysia sendiri.
Festival ini juga turut mempertontonkan keunikan budaya masyarakat ini dari dalam dan luar negara sekali gus mewujudkan jaringan serantau yang kukuh serta elemen tarikan pelancong.
Masyarakat Orang Asli mengandungi tiga buah rumpun bangsa yang terbentuk daripada 19 buah suku kaum.
Malah setiap kaum merupakan entiti etnik yang tersendiri dan kaya dengan budaya masing-masing.
Komuniti Orang Asli yang ditemui juga berbangga dengan adanya festival sebegini di mana masyarakat dalam dan luar negara dapat mengenali budaya hidup mereka.
Bagi Yulianty (satu nama), 37 dari Indonesia mereka bangga dengan acara yang diadakan kerana ia dapat menyatupadukan komuniti mereka.
"Kami bangga jadi Orang Asli, festival ini bagus untuk satu padukan kami dan perlu diteruskan pada masa depan," katanya kepada Malaysiakini.
Manakala bagi peserta dari Lynda Brooking, 38 dari Kanada menyambut baik festival ini kerana ia membolehkan mereka mengenali secara dekat dengan komuniti orang asli dari negara lain.
"Bagus, kami boleh kenal budaya satu sama lain," kata Brooking.
Sementara itu, menurut seorang lagi peserta dari Afrika Matrade, 32, menyifatkan penganjuran festival ini bagus sekali.
"Saya rasa bagus dan sangat gembira berada bersama komuniti orang asli yang lain dari Asia," kata Matrade.
Malah, menurut peserta dari Malaysia Ahmin Amisani, 25 mahu festival sebegini diteruskan setiap tahun.
"Bagus bagi memperkenalkan budaya kami kepada masyarakat luar dan kami bangga jadi sebahagian dari komuniti orang asli," kata Ahmin yang berasal dari Sabah.
Posted by Malaysiakini (BM Version) on Saturday, 24 October 2015

