Rezeki '24 jam' Bandages
Andai sudah ditakdirkan - siapa sangka band Bandages yg ditubuhkan kurang dari 24 jam sebelum pertandingan boleh muncul juara Battle of the Buskers yang dianjurkan di Shah Alam semalam.
Semuanya kerana minat dan kesungguhan lima anggota Bandages untuk memperjuangkan muzik sebagai anak seni dan menolak mentah-mentah dilabel “band setakat cari makan.”
Seorang daripadanya malah mendapat pendidikan formal dalam bidang kulinari.
“Kami memang tidak menyangka kemenangan ini.
“Band kami baru saja ditubuhkan semalam dan latihan diadakan hanya beberapa jam sebelum pertandingan,” kata Afiqah 22, yang juga vokalis kumpulan itu.
Menurut Afiqah, sebenarnya mereka memulakan latihan kira-kira jam 8 malam Sabtu dan dilakukan tanpa pemain gitar yang kebetulan tidak dapat hadir.
Empat lagi anggota Bandages - Haziq Alis, 21, (percussion); Suffren Ghafar, 21, (basis); Ameer Firdaus, 21, (gitar) dan Amirul Hakim, 20, (saksofon) - masing-masing adalah pemegang diploma muzik dari Universiti Teknologi Mara.
Bahagian demi bahagian
Afiqah pula, walaupun mengambi bidang kulinari, darah seni memang ada dalam dirinya kerana dia adalah anak seniman Jalil Hamid.
Menurut Haziq pua, disebabkan masa yang suntuk, mereka perlu bekerjasama memainkan peranan masing-masing ketika latihan.
Disebabkan masa suntuk, Haziq berkata, ia perlu dilakukan dengan cara yang betul.
“Pada hari ini (semalam), kami berlatih lagi di tangga belakang bangunan sejam sebelum pertandingan bermula," katanya.
Menurut Haziq, cara yang betul untuk membolehkan persembahan mereka berjaya ialah melakukan latihan bahagian demi bahagian.
“Semalam (Sabtu) kami sudah berbincang dan memberi tumpuan pada permulaan, pertengahan, dan penghujung lagu.
“Kemudian, kami masukkan elemen yang dikehendaki dan praktis sekurang-kurang 5 hingga 10 kali,” katanya.
Perintis Busking Corner
Battle of the Buskers dianjurkan kumpulan syarikat PKNS sempena Festival Seni Selangor 2015 (Selfiesta’15).
Ia diadakan di kompleks beli-belah SACC Mall Shah Alam.
Selain Battle of the Buskers, Selfiesta '15 turut mengadakan pertandingan kompang berformasi, wayang pacak, persembahan seni pertahan diri dan seni lukis seperti grafiti dan arca.
Menariknya, selain memenangi wang RM2,000 juara Battle of the Buskers juga berpeluang menjadi perintis Busking Corner yang akan dibuka kerajaan negeri nanti.
Busking Corner adalah satu tempat yang menggalakkan lebih ramai penyanyi jalanan mengadakan persembahan di SACC Mall setiap hujung minggu tanpa perlu merisaukan permit atau pihak penguasa.
Sementara itu Pembantu Pengurus Komunikasi PKNS Real Estate, Wan Firdaus Isa berkata, pertandingan semalam dilihat sebagai cara pihaknya membantu anak muda mengembangkan bakat mereka.
“Battle of the Buskers boleh dilihat sebagai platform untuk penyanyi jalanan mengembangkan sayap masing-masing kerana kami adalah anak syarikat kerajaan negeri dan ada peluang mudah dan banyak di situ," katanya.
Menurut Wan Firdaus, juara sebelum ini Sara Sara Akustika sudah mula mendapat tawaran untuk membuat persembahan di majlis yang dianjurkan oleh PKNS.
Sebanyak 12 penyertaan diterima sempena pertandingan semalam yang dijalankan sejak pagi.
Naib Juara dimenangi kumpulan The Unplanned yang membawa pulang wang RM1,000 dan tempat ketiga The Story of Narna (RM700).

