Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dikenali kerana menghasilkan lagu ‘matang’ dengan mengetengahkan isu seharian dari perspektif sendiri, sekali lagi penyanyi Altimet menterjemahkan pengalaman peribadi dalam single Aku Tahu.

Lagu itu sebenarnya mempunyai beberapa keunikan.

Selain dibawa secara berduet dengan Tomok, ia juga tampil dengan klip video pendek yang 'bercerita'.

Ketika peringkat awal penciptaan lagu itu Altimet - atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman - berkata ia dihasilkan selepas dia menziarahi neneknya.

“Saya pulang melawat nenek, dan di situ terjumpa ayah saya yang melawat emaknya.

“Dalam perjalanan pulang selepas itu, ketika di dalam bas saya mendapat ilham untuk menulis Aku Tahu ," katanya.

Altimet, 37, ditemui di sidang media pelancaran video muzik Aku Tahu menerusi aplikasi Red Hotlink baru-baru ini.

Tentu ada kelainan

Rentak Aku Tahu berbeza daripada karya Altimet sebelum ini seperti Syukur atau Kalau Aku Kaya yang menampilkan melodi lebih rancak dan melontarkan kritikan terhadap aspek sosial dan budaya.

Namun, penyanyi irama rap itu tetap mahu pendengar mendalami lirik dan video klip itu kerana percaya ada keistimewaan di dalamnya.

“Semua orang yang terbabit dalam kerjaya saya merasakan lagu ini istimewa.

“Biasanya, mereka sudah menjangka kelainan itu pada setiap lagu baru yang muncul. Setiap kali saya buat lagu, mereka tahu akan ada kelainan,” katanya.

Klip video Aku Tahu memaparkan kisah kehidupan seorang nelayan bersama anaknya yang mengharungi detik cemas ditimpa bencana di laut.

Sesudah menginjak dewasa dan mempunyai anak sendiri, si anak nelayan tadi sering terkenang segala nasihat yang pernah diberi oleh bapanya.

Daripada kisah itu, Altimet cuba menyampaikan perasaan terbuku berkait rapat dengan pengalamannya sendiri sebagai anak dengan bapanya.

Lirik sama penyanyi ada beza

Altimet mengakui, awal pembabitannya sebagai anak seni, ia bukanlah perkara mudah untuk difahami dan diterima bapanya.

“Klip video ini menceritakan kerumitan bapa dan anak yang tidak dapat dizahirkan.

“Sebagai orang tua beliau lebih bersifat seperti kebanyakan ibu bapa Asia yang mahukan anaknya bekerja sebagai doktor, peguam, arkitek dan seumpamanya.

“Dia bukan pandang rendah (pada kerjaya penyanyi), tetapi baginya itu saja yang boleh menjana pendapatan lebih baik,” kata Altimet.

Klip video Aku Tahu digarap dan diarah Khairul Azri yang pernah pemenang Anugerah Video Muzik Terbaik pada 2008 untuk lagu Butterfingers, 1,000 Tahun.

Penggambaran video Aku Tahu dijalankan selama dua hari di sekitar perairan Pulau Pangkor.

Selain Aku Tahu, Khairul juga pernah berkolaberasi dengan Altimet menerusi Syukur .

Sebenarnya, Aku Tahu pernah ditampilkan dalam album Jian (2010), tetapi ia tidak pernah dilancarkan.

Dan ketika itu, tiada penampilan Tomok.

Menurut Altimet, Aku Tahu masih menampilkan lirik sama cuma diberi nafas baru dan digarap lebih bagus daripada sebelumnya.

“Lirik semua sama, yang berbezanya - ada Tomok.

“Saya memilih untuk bergandingan dengan Tomok kerana dia mempunyai penyampaian vokal yang baik,” katanya.

Lihat Komen
ADS