Ulasan filem: The Martian jujur kepada sains
Ketika artikel ini ditulis, kutipan tiket The Martian di benua Amerika saja sudah mencapai lebih AS$100 juta, selain lebih AS$200 juta di seluruh dunia.
Sesetengah peminat mendakwa filem ini adalah produksi yang ditunggu-tunggu. Ia filem sains fiksyen yang mewakili sains dalam erti kata sebenar. Filem yang tidak ada adi wira melawan kuasa graviti dengan melompat dari satu dunia ke dunia yang lain dalam sekelip mata, misalnya.
The Martian hanyalah kisah seorang ahli botani yang menyelesaikan permasalahan demi permasalahan dalam lingkungan ilmu dan perkiraan sains yang tepat, walaupun ada pengecualian (kita akan kembali kepada itu sekejap lagi).
Pilihan menonton filem saya biasanya ditentukan oleh anak-anak kerana waktu menonton wayang bersama mereka terhad pada hujung minggu. Biasanya filem yang jadi pilihan adalah animasi Disney atau adi wira ciptaan Marvel.
Kali ini saya bersungguh mengajak mereka menonton The Martian . Saya menjual idea keterujaan kepada anak-anak dengan mencadangkan kepada mereka untuk menyaksikan bagaimana seorang lelaki boleh hidup sendirian di planet Marikh.
Saya juga mengumpan isteri dengan keterlibatan pelakon kegemarannya dalam filem ini. Oh, bukan Matt Damon yang saya maksudkan, tapi Michael Pena yang mirip seorang pengawal keselamatan warga asing di taman perumahan kami yang tidak pernah tidak tersenyum setiap kali kami melewati pondok bertugasnya.
Buka mata, fikiran
Selesai menonton saya dikutuk oleh anak-anak saya kerana mempromosi The Martian sebagai "filem sangat menarik". Ternyata filem ini gagal tidak menarik minat mereka, malah salah seorang anak saya yang berumur 5 tahun tertidur sepanjang tayangan.
Ini menyebabkan saya berfikir panjang. Adakah The Martian gagal difahami oleh penonton muda atau sememangnya filem itu kurang perencah?
Atau memang persoalan kompleks yang dipaparkan - seperti ikhtiar untuk bercucuk tanam dan menghasilkan sendiri air, membajai tanaman dengan najis, atau menyelesaikan masalah berkomunikasi dengan bumi dalam lingkungan sains dan teknologi yang ada pada hari ini - tidak menarik.
Ia memang gagal mengatasi aksi Thor menghayun tukul dari Asgard ke bumi dalam sekelip mata.
Ketepikan perspektif anak-anak saya. Bagi saya filem ini membuka mata dan fikiran. Premisnya mudah - Mark Whatney (Matt Damon) terkandas di planet Marikh apabila ribut pasir kuat melanda. Dia disangka telah mati dan ditinggalkan oleh rakan-rakan sepasukannya.
Menurut Andy Weir - penulis asal novel yang diadaptasi kepada filem ini - kejadian ribut pasir itu adalah satu-satunya perkara yang tidak menepati sains dalam filem ini. Ketumpatan atmosfera planet Marikh hanya 1 peratus daripada ketumpatan atmosfera bumi. Ia tidak mungkin boleh menghasilkan ribut sekuat itu. Itulah satu-satunya pengecualian.
Selainnya, alam dipaparkan dalam The Martian betul dari segi sains. Dan kita bersedia memaafkan Weir yang mengunakan lesen kreatifnya untuk pengecualian tersebut, kerana dari situlah pengembaraan Whatney bermula.
Kesudahan gembira
Whatney membawa penonton menyaksikan planet merah yang cantik. Kita diajar bahawa manusia punya kecerdikan, pengetahuan dan kemampuan untuk menyelesaikan satu per satu masalah menggunakan otak dan tulang empat kerat. Dan lebih penting - ada kemahuan untuk terus hidup.
Kalau kita mencari satu kekurangan dari filem ini, mungkin adalah keterbatasan untuk menerangkan teori-teori sains tersebut dan bagaimana Whatney mengaplikasikannya untuk memastikan kelangsungan hidup. Di sini, tentunya sebuah buku lebih mempunyai kelebihan.
Matt Damon membawa watak Whatney dengan baik. Walaupun kita tahu kesudahan untuk filem sebegini tentulah kesudahan yang gembira - Whatney kembali ke bumi dan hidup bahagia selama-lamanya (ha ha!) - kita menanti dengan debar setiap gerak langkahnya.
Juga bagaimana NASA di bumi dan rakan-rakan sepasukan Whatney mengenal pasti dan menganalisis semua pilihan yang ada untuk menyelamatkannya.
Satu ketika dalam panggung wayang itu, isteri saya bertanya: "Ini dari kisah benarkah?"
Pertanyaan jujur itu menunjukkan bahawa filem ini "menjadi" dan lakonan watak di dalamnya menyebabkan kita mahu percaya ia benar-benar pernah berlaku.
Pertarungan Whatney untuk hidup juga mengingatkan kita kepada Cast Away (2000) lakonan Tom Hank, juga ada yang membandingkannya dengan Gravity (2013) lakonan Sandra Bullock.
Bagi saya kekurangan The Martian berbanding Cast Away adalah permainan emosi dan psikologi yang dikembangkan dan ditampilkan kepada kita.
Cast Away melalui Chuck Noland (Tom Hank) dan Wilson si bola tampar itu membolehkan penonton berkongsi penderitaan dialami.
Manusia mampu melakukan
Dalam The Martian, Whatney selalu menyumpah seranah menyebabkan kita ketawa, manakala impak daripada hidupnya yang seolah-olah tiada harapan untuk selamat, kurang dirasai secara psikologi.
Mungkin - saya rasa - antara keperluan asas manusia (selain makan, minum dan penginapan) adalah berkomunikasi dengan seseorang. Sebab itulah Adam diberikan Hawa, dan Noland mengubah sebiji bola menjadi teman sembangnya.
Whatney ada dua kelebihan. Pertama dia masih punya sistem komputer yang merekodkan log video aktiviti beliau sehari-hari. Di situlah beliau bercakap, bercakap dan bercakap.
Kedua, dia berjaya mencari jalan untuk berkomunikasi dengan bumi. Dan dengan perhubungan dua hala itulah perancangan boleh dibuat untuk menyelamatkan beliau. Elemen itu tidak ada dalam Cast Away.
(Artikel saya ini ditulis juga adalah kerana itu - memenuhi keperluan saya untuk bercakap dan didengar. Malang sungguh kita di Malaysia diajar untuk hanya mendengar tapi tidak boleh bercakap oleh pemimpin-pemimpin kita. Kami dengar dan kami taat, huh?)
The Martian adalah filem sangat mengagumkan dari segi ketepatan dan menitikberatkan aspek teknikal serta sains.
Dan mesejnya yang mudah, tapi kita sering lupa - bahawa manusia sangat berkebolehan melakukan perkara-perkara yang hampir mustahil, tapi tidak mustahil dari segi sains.
Dengan apa yang manusia ada pada hari ini, kita tidak perlukan dewa atau adi wira dengan kuasa luar biasa untuk menentukan jatuh bangun tamadun manusia.

