Penulis skrip ET, Twilight Zone meninggal dunia
Penulis skrip terkenal yang menghasilkan ET the Extra-Terrestrial dan Twilight Zone: The Movie , Melissa Marie Mathison meninggal dunia ketika berusia 65 tahun.
Kenyataan itu disahkan oleh ahli keluarga terdekat, Dirk Mathison.
Melissa yang pernah berkahwin dengan pelakon Harrison Ford diberitakan meninggal dunia semalam, di kediamannya di Los Angeles atas masalah kesihatan yang tidak didedahkan.
Sepanjang perkahwinan Melissa dan Ford dari 1983 hingga 2004, mereka dikurniakan dua anak iaitu Malcom dan Georgia.
ET , arahan pengarah legenda Steven Spielberg, menaikkan nama Mathison setelah filem sains fiksyen itu ditayangkan di panggung selama berbulan-bulan dan merangkul empat anugerah Oscar.
Melissa turut mendapat pencalonan dalam bidang penulisan.
Rekod tayangan ET hanya dipecahkan pada 1993 melalui filem Jurassic Park, juga arahan Spielberg.
Projek terakhir Melissa sebagai penulis skrip juga membabitkan Spielberg adalah the BFG, yang mengisahkan persahabatan seorang kanak-kanak dengan ‘kawan gergasi’.
Ia dijangka ditayangkan kepada umum pada 2016.

