Lahir sekali gus membesar di Islamabad, Pakistan memberi inspirasi kepada jurugambar Awais Yaqub yang berusia 31 tahun untuk merakam kehidupan moden masyarakat di sana menerusi lensanya.

Kini sebanyak 69 imej berwarna-warni yang diambil berdasarkan pemerhatian dari mata sendiri berlatarbelakangkan aktiviti dilakukan oleh masyarakat setempat boleh disaksikan dalam pameran di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM).

Pameran Gambaran Pakistan oleh Awais Yaqub sebenarnya sudah bermula sejak 26 Oktober lalu dan masih diteruskan hingga 17 Januari tahun depan.

Ia diadakan di Galeri Terbuka MKIM.

Kerencaman sosial, politik dan geografi Pakistan menjadikan negara itu dipenuhi pelbagai warna meskipun majoriti penduduknya penganut Islam.

Bukan itu saja, aktiviti sukan dan festival yang melambangkan pelbagai budaya seperti khemah dan sukan berkuda dari zaman kuno turut mengambil tempat dalam pameran berkenaan.

Selain itu, tradisi trak berhias juga turut bakal memukau pengunjung yang berminat dengan seni budaya Pakistan.

Awais, 31, memulakan pengembaraannya sebagai jurugambar pada 2004 selepas mendapat kamera pertamanya, Sony Cybershot.

Disebabkan tiada tempat untuknya mempelajari bidang fotografi, Awais menjadikan Internet sebagai sumber utama pembelajarannya.

Tanpa pendidikan profesional dia memulakan kerjaya sebagai jurugambar profesional pada 2007 dan sejak itu 'jatuh cinta' kepada dunia lensa dan fotografi.

Lahir sekali gus membesar di Islamabad, Pakistan memberi inspirasi kepada jurugambar Awais Yaqub yang berusia 31 tahun...

Posted by Malaysiakini (BM Version) on Wednesday, November 11, 2015