Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
65 saat isteri ceraikan Mr Bean
Diterbitkan:  Nov 11, 2015 8:16 PM
Dikemaskini: 12:21 PM

Isteri Mr Bean mendapat kebenaran menceraikan aktor itu berdasarkan kepada "tingkah laku tidak munasabah" apabila dia meninggalkan wanita terbabit, lapor media semalam.

Mr Bean - atau nama sebenarnya Rowan Atkinson - tidak hadir ketika mahkamah mendengar permohonan Sunetra Sastry di London.

Proses itu berlangsung hanya selama 65 saat.

Media melaporkan Sunetra, 54, memohon mahkamah keluarga di London mengeluarkan decree nisi ke atas suaminya yang kini berusia 60 tahun.

Decree nisi adalah perintah mahkamah yang tidak dikuatkuasakan kecuali keadaan tertentu berlaku.

Atkinson berkahwin dengan Sunetra pada 1990 namun dia meninggalkan jurusolek itu untuk menjalin hubungan dengan aktres berusia 32 tahun, Louise Ford.

Atkinson dan Louise sudah bersama sejak 18 bulan lalu.

Dokumen perceraian itu didedahkan kepada umum semalam namun butiran mengenai "tingkah laku tidak munasabah" tidak dijelaskan.

Mudah sangat tak munasabah

Disenaraikan sebagai "Atkinson S D melawan R S", kes itu didengar di depan hakim Stephen Alderson dan perintah dikeluarkan melalui prosedur "segera".

Pasangan Atkinson - Sunetra memiliki dua anak dan dilaporkan berpisah tahun lalu.

Sementara itu peguam Andrew Newbury berkata alasan "tingkah laku tidak munasabah" adalah alasan paling lazim digunakan pasangan suami isteri yang mencari penyelesaian melalui perceraian.

"Walau dalam perkahwinan paling bahagia pun, ada kemungkinan menemui tingkah laku yang dapat dianggap tidak munasabah," katanya.

Antara perlakuan yang boleh dianggap tidak munasabah, kata Newbury, ialah terlalu banyak bercakap, enggan mendengar penjelasan dan pasangan kerap mahu keluar bersama rakan.

"Walaupun dianggap menerima kebenaran menceraikan suaminya, perpisahan itu tidak muktamad sehingga Sunetra memohon mendapatkan perintah sebenar daripada hakim.

"Proses itu boleh berlangsung antara tempoh seminggu atau berbulan-bulan bergantung kepada nasihat peguam Sunetra," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS