Mila, Isz sah suami isteri sekali lafaz
Dengan sekali lafaz, juara Akademi Fantasia musim kelima Mila Jirin sah bergelar isteri kepada Isz Mustapha dalam majlis akad nikah yang berlangsung di sebuah hotel di Subang Jaya petang semalam.
Mila atau nama sebenarnya Norsyamilla Jirin, 28, selamat diijabkabulkan dengan Isz, 36, oleh imam Masjid Jamek Batu 12 Puchong, Mohamed Zainal Khamid dan berwalikan bapa penyanyi itu, Jirin Borhan.
Isz atau nama penuhnya, Ahmad Ailis Mohamed Mustapha adalah pengurus Mila.
Dia menyerahkan mas kahwin RM1,001, wang hantaran RM23,128.70 dan lima dulang hantaran.
Pihak Mila pula membalasnya dengan tujuh dulang.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan seadanya. Selepas ini, ada dua lagi majlis akan diadakan. Ia permulaan fasa baru buat saya dan suami. Semoga dipermudahkan,” kata Mila seperti dilaporkan Berita Harian Online.
Mila dan Isz mula mengenali antara satu sama lain sejak di bangku sekolah, tetapi hanya mula menjalin hubungan serius selepas kedua-duanya berusia 20-an.
A photo posted by MILA JIRIN đ¤ (@mila_jirin) on
Sebelum ini, hubungan mereka dilaporkan berdepan dugaan namun ia sebaliknya membuat mereka menjadi lebih rapat.
Pasangan berkenaan memilih tarikh berasingan untuk mengadakan majlis keraian iaitu pada 20 Disember ini di Pulau Pinang untuk kelurga dan sahabat handai, manakala sambutan untuk media dibuat pada 23 Januari tahun depan di Subang Jaya.

