Miss Universe: Vanessa sedia hadapi cabaran
Segalanya mungkin nampak mudah ketika Vanessa Tevi Kumares hanya menonton rancangan Miss Universe Malaysia menerusi televisyen, namun dia mengakui ada banyak cabaran perlu dihadapi sebaik menyertai dan memenangi pertandingan itu.
Vanessa diumumkan sebagai pemenang Miss Universe Malaysia 2015 pada 18 April lalu, mengalahkan 16 peserta lain.
Dia akan mewakili negara untuk berdepan peserta dari 75 negara – yang setakat ini sudah mengesahkan akan bertanding - di pertandingan Miss Universe ke-64 di The Axis, Nevada, AS pada Disember ini.
Menurut jelitawan berusia 23 tahun itu, dia menjadi peminat setia yang mengikuti penuh minat perkembangan rancangan itu pada 2012.
Dia kemudian memasang niat untuk mewakili negara suatu hari nanti dengan matlamat mudah - untuk menjadi inspirasi orang lain.
“Ia membuka minda saya untuk menyertai pertandingan itu kerana matlamatnya bukan hanya mengenai kecantikan. Pemenang biasanya menjadi insan lebih prihatin.
“Sebagai orang biasa, saya mahu lihat perkara begini memberi inspirasi kepada orang ramai,” katanya semasa ditemubual Malaysiakini.
Kehadiran Vanessa di pejabat Malaysiakini turut ditemani Carey Ng yang juga Pengarah Kebangsaan Organisasi Miss Universe Malaysia.
Carey sendiri adalah pemenang Miss Universe Malaysia pada 2013.
Menurut lepasan graduan sarjana muda jurusan pengurusan hotel itu, selepas menjadi peserta pertandingan ratu cantik itu barulah dia sedar cabaran yang tersedia tidak semudah yang tonton di televisyen.
Vanessa yang pernah menjadi atlet renang berirama itu berkata, kemenangannya membawa perubahan besar dalam hidup apabila menyedari untuk berjaya, dia perlu keluar dari zon selesa sebelum ini.
Selepas menjadi pemenang, pada awalnya Vanessa masih lagi belum mengerti cabaran sebenar, tetapi tidak lama kemudian - selepas dijelaskan oleh Carey - barulah dia memahaminya.
“Ia mengubah kehidupan saya dari pelbagai sudut. Bagi saya ia adalah peningkatan untuk seseorang menimba pengalaman atau kemahiran baru,” katanya.
Dengan gelaran juara yang dibawanya, rutin harian Venessa kini padat dengan sesi penggambaran dan sidang media namun mujur ada tunjuk ajar daripada Carey, dia mampu mengadaptasi situasi berkenaan dengan lebih mudah.
"Perkara penting yang sering diingatkan adalah supaya kita berfikir lebih matang sebelum bercakap mengenai sesuatu perkara," katanya.
Mengenai perancangannya dalam pertandingan peringkat dunia nanti, Vanessa berkata, dia perlu pengetahuan meluas untuk menceritakan pelbagai keistimewaan negara ini di khalayak dunia.
“Terlalu banyak perkara untuk dikongsikan dan jika anda bijak memberitahu perkara menarik, ia tentu membuat mereka teruja untuk bertanya lebih lanjut," katanya.
[Bersambung]

