Band Australia diusir kerana tiada permit
Sebuah band metalcore I Killed The Prom Queen menjelaskan, mereka tidak diusir dari Malaysia seperti dilaporkan media luar, sebaliknya sekadar tidak dibenarkan memasuki negara.
Hari ini, pemain gitarnya Jona Wienhofen tampil memberi penjelasan menerusi akaun Twitter mengenai insiden yang berlaku terhadap kumpulan muzik dari Australia itu.
“Kebanyakan media melaporkan kami dihantar pulang.
“Untuk makluman, kami dibebaskan tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang malahan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia sempat memohon maaf atas kekeliruan terbabit,” katanya.
Media antarabangsa melaporkan, kumpulan itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Sabtu lalu kerana tidak memiliki permit untuk melakukan persembahan.
Disebabkan gagal mematuhi peraturan itu, anggota kumpulan I Killed The Prom Queen diarah berpatah balik.
Tak fikir kembali
Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim mengesahkan anggota kumpulan itu ditahan kerana tidak memiliki visa.
“Saya mahu membebaskan kumpulan itu secepat mungkin dan membawa mereka pulang. Saya tidak mahu berita begini menjadi viral," katanya.
Menurut Wienhofen berkata, walaupun kakitangan jabatan imigresen mengakui kepincangan dilakukan oleh promoter konsert di Kuala Lumpur yang gagal menguruskan visa, dia kecewa kerana "diberi layanan buruk".
Justeru, katanya, sesiapa saja yang mendapat layanan sedemikian pasti tidak mahu menjejakkan kaki lagi ke negara yang sama.
“Maaf Malaysia, tetapi selepas pengalaman buruk ini, kami tidak berfikir untuk kembali dalam waktu terdekat,” katanya.
I Killed the Prom Queen ditubuhkan pada 2000 dan aktif dalam konsert jelajah seperti AS, Jepun dan sebahagian lokasi di Eropah.
Mereka pernah menghasilkan album - When Goodbye Means Forever (2003) dan Music for the Recently Deceased (2006) - sebelum berpisah pada April 2007 kerana tidak mempunyai vokalis tetap.
Kumpulan itu cuba melakar sejarah kembali dengan mengadakan jelajah perpisahan pada pertengahan 2008 dan mengeluarkan lima album live dan DVD.
Pada Mei 2011, band itu membuat pembaharuan untuk siri jelajah The Destroy Music dengan vokalis baru Jamie Hope dan menghabiskan dua tahun mengusahakan album ketiga yang dikeluarkan awal 2014.
Dalam pada itu, menurut Weinhofen, ada juga beberapa perkara dianggap ‘pelik’ berlaku.
“Perkara paling aneh adalah apabila ada beberapa pegawai imigresen meminta kami menandatangani autograf dan seorang daripada mereka memakai baju yang tertera nama Prom Queen walaupun ketika itu kami masih ditahan," katanya.
Namun, bukan semua pengalamannya buruk.
Sepanjang tempoh ditahan, semua anggota kumpulan itu diberikan makanan dan minuman mencukupi.
“Jika tidak, pasti keadaan akan bertambah teruk,” katanya.

