The Visit Shyamalan yang hancur
Apabila kita bercakap tentang filem genre seram, apa yang diharapkan sebagai penonton adalah "seram" itu sendiri, selain unsur lain yang membantu menerbitkan rasa berkenaan.
Rasa dingin setajam pisau, debaran jantung tidak tertahankan dan kesan taklukan seram yang ditanggung berhari-hari.
Pengalaman menonton filem Thailand,
Shutter
adalah salah satu contoh yang baik. Daripada kaki rayap pada waktu malam,
Shutter
mampu menjadikan seorang lelaki menikus selepas Isyak selama dua minggu.
Pertama kali saya mengenali hasil kerja M Night Shyamalan adalah menerusi filem The Sixth Sense yang sangat 'meletupkan minda' waktu itu.
Ia bukan saja unik, tetapi bijak dari segi plot dan idea, selain kemas segenap segi, membuai perasan penonton dengan penuh cermat.
Shyamalan bagai membiarkan perasaan penonton melayang dari tempat tinggi dan menyambutnya pada detik yang tepat.
Selepas kejayaan The Sixth Sense, The Unbreakable juga tidak menghampakan walaupun secara keseluruhannya ia filem yang membazirkan bakat Bruce Willis dan Samuel L Jackson.
Sign pada 2002 sudah menampakkan sedikit kekurangan namun masih boleh diterima kerana ia membawa penonton mengharungi penaklukan makhluk asing dari mata seorang ayah.
Harapan tinggal harapan
Tetapi filem seterusnya, The Village, Lady In The water, The Happening, The Last Airbender dan After Earth sangat mengecewakan. Shyamalan sudah kehilangan mojonya.
Harapan mengangkat beliau sebagai Steven Spielberg seterusnya berkecai tanpa siapa tahu kenapa.
Tahun ini Shyamalan kembali lagi dengan The Visit.
Sejujurnya, pertama kali melihat poster filem ini, rasa teruja yang dulu mati, kembali berputik.
Nampaknya kita boleh menaruh harapan kepada Shyamalan (
gambar
), tetapi sayang, harapan tinggal harapan.
Perkara pertama yang membunuh harapan itu adalah teknik found footage. Sampai ke hujung filem, teknik ini tidak dapat diterima daripada pengarah seperti beliau.
Filem ini - jika dibuang teknik tersebut - akan lebih memberi kesan.
Mungkin pada asasnya Shyamalan mahu membawa penonton mengembara bersama watak utama dalam cerita ini - pasangan dua beradik - yang mahu berjumpa dengan datuk dan nenek mereka untuk pertama kali.
Si kakak mahu mengabadikan kenangan itu secara digital, sementelah terdapat kisah hitam di antara ibu dengan datuk dan nenek mereka.
Lalu dua beradik itu tadi kononnya menjadikan lawatan itu sebagai misi mereka untuk merapatkan kembali jurang tersebut. Malangnya, sentuhan sebegitu kurang menjadi, antara lain kerana teknik itu sudah banyak digunakan filem. Apabila terlalu banyak, ia memang membunuh selera.
Kedua, kebosanan yang timbul akibat dari kelengahan yang bagaikan disengaja, juga beberapa babak dengan skrip yang seolah-olah mahu memberi alasan kenapa filem ini bersifat found footage.
Entah apa diceritakan
Untuk sampai ke babak cemas pertama, penonton dipaksa menunggu hingga ke hampir minit ke-16. Itu pun mengecewakan juga sebab ia berlangsung hanya kurang dari dua minit.
Permainan 'tarik tali' ini sangat mengecewakan. Bukan kerana paparan yang sedikit, tetapi perlakuan aneh yang datang dari datuk dan nenek mereka itu tidak cukup aneh, tidak menakutkan dan gagal membuka mata.
Atmosfera klasik yang disumbat di dalam filem ini juga gagal memainkan peranannya. Tidak sampai 30 minit, penonton sudah boleh mengagak filem ini lebih kepada psiko thriller dan bukan horror . Dan sampai ke penamat memang tiada apa yang horror pun!
Perkara ketiga, permainan emosi yang 'tidak sampai'. Entah apa yang sebenarnya ingin diceritakan filem ini.
Pada
The Visit
ada misteri konflik antara keluarga, pergolakan jiwa dari perspektif kanak-kanak yang terkesan dengan penceraian, dan misteri perlakuan aneh si datuk dan nenek.
Setiap satu tidak berhubung kait sama sekali dan ketiga-tiganya berdiri sendirian dan berjalan serentak secara terasing, namun cuba juga untuk dicantumkan kononnya dapat memberi perubahan radikal kepada jalan cerita dan watak.
Satu-satunya perubahan radikal yang menjadi adalah di minit ke-67.
Ianya sangat menjadi sehingga mampu membuat penonton cemas dan berdebar tetapi malangnya, perasaan itu dibunuh kemudiannya dengan plot-plot yang biasa dan cuba pula disambung semula pada minit 77 sehingga akhir.
Ada perkara berulang kali berlaku sepanjang filem ini, iaitu apabila si nenek meminta si kakak masuk ke ketuhar untuk mencucinya. Babak ini berjaya membuat penonton tertanya-tanya apakah yang bakal berlaku, dan imaginasi bukan-bukan pun membusut dengan pelbagai potensi yang boleh berlaku.
Malang lagi. Busut imaginasi itu dilempar dengan bom “tiada apa”. Dan ia bukan berlaku sekali, tetapi dua kali!
Inilah yang sangat mengecewakan. Dan Shyamalan dilihat cuba menggantikan kekecewaan itu pada babak seterusnya apabila mendedahkan apakah yang sebenarnya berlaku secara keseluruhan.
Maaf, Shyamalan. Ia gagal mengubati kekecewaan tersebut.
MUHD IQBAL seorang anak Malaysia yang kini bertugas sebagai mekanik pesawat udara di luar negara. Selain membaiki enjin kapal terbang, dia juga banyak menulis, termasuk dalam blog serta buku.

