Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hello Adele 'sihir' untuk wanita patah hati
Diterbitkan:  Dec 1, 2015 5:23 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

Lagu terbaru Adele, Hello, bukan saja sedap di telinga dan mengkhayalkan, tetapi didakwa mampu 'menyihir' pendengar, terutama wanita.

Daily Mail melaporkan, lebih 60 peratus wanita yang mendengar serta menghayati Hello akan terdorong untuk menghubungi bekas kekasihnya.

Hasil kajian oleh laman sesawang WhatsYourPrice, hampir 65 peratus wanita mengaku mempertimbangkan idea untuk memulihkan hubungan cinta mereka dengan kekasih lama selepas mendengar Hello.

Namun keadaan sebaliknya ditunjukkan oleh pendengar lelaki.

Kajian sama mendapati hanya 17 peratus responden lelaki yang terpengaruh dengan Hello dan berkira-kira untuk menghubungi bekas teman wanita masing-masing dan berbaik-baik semula.

Bagi pendengar lelaki - yang ditemui laman sesawang itu - mereka lebih selesa meneruskan hidup seadanya dan melupakan kisah silam.

Hello diterbitkan ke pasaran pada Oktober lalu selepas Adele, 27, 'hilang dari radar' hiburan kira-kira tiga tahun.

Lelaki lebih terbuka

Lagu itu termuat dalam album 25 yang dilancarkan pada November lalu. Ia adalah album ketiga Adele.

Berdasarkan data sehingga 29 November 2015, agensi Nielsen Music berkata, 25 terjual sekurang-kurangnya 650,000 unit dalam minggu kedua di AS.

Dengan 3.38 juta unit dijual pada minggu pertama pelancarannya (antara tempoh 20 November - 26 November), di AS saja album 25 sudah terjual lebih empat juta unit.

Sebanyak 41,000 responden lelaki dan wanita ditemubual WhatsYourPrice bagi mendapatkan data berkenaan.

Ia dijalankan untuk mengetahui kesan sesebuah lagu kepada lelaki dan wanita.

Pengasas WhatsYourPrice, Brandon Wade, berkata pendengar lelaki mungkin tetap terpengaruh dengan Hello namun mereka bersikap lebih terbuka untuk terus tabah melalui hidup baru.

"Keadaan sebaliknya mungkin berlaku kepada pendengar wanita," katanya.

Lihat Komen
ADS