Jaclyn gementar, 'tercabar' beraksi konsert orkestra
Masih ada gementar biarpun sudah masuk tahun ke-11 Jaclyn Victor menempa nama sebagai penyanyi, baik dalam negara mahupun di persada antarabangsa.
Sebut saja nama Jaclyn, 37 pasti ia tidak asing lagi buat pendengar setia yang meminati penyanyi bersuara Spinto Soprano itu.
Jacyln atau nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor penyanyi bersuara lantang yang sudah banyak merangkul pelbagai kejayaan menerusi Anugerah Industri Muzik, Anugerah Juara Lagu, Anugerah Planet Muzik dan Anugerah Muzik Festival Shanghai XIII.
Dan untuk persembahan kali ini, Jaclyn perlu memikul tanggungjawab yang berbeza daripada sebelumnya kerana dia perlu beraksi di atas pentas untuk konsert Music of the Night bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan.
Menurut penyanyi Gemilang itu, konsert yang diterajui oleh Mustafa Fuzer Nawi itu memberikan satu cabaran besar buat dirinya.
"Saya tidak pernah membawakan lagu bertema klasikal seperti ini.
"Cabaran untuk menyanyi konsert orkestra seperti ini membuatkan saya 'gabra' (gementar).
"Bayangkan jika genre biasa boleh membuatkan saya gementar di belakang pentas hingga hampir termuntah.
"Apatah lagi yang sebegini,” katanya kepada Malaysiakini .
Jacyln ditemui di sidang media pengumuman konsert Music Of The Night - An Evening of Favourite Musical and Film Themes bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan di Istana Budaya (IB) semalam.
Konsert yang dijadual berlangsung pada 19 Disember ini turut menampilkan Stephen Rahman Hughes sebagai vokalis.
Bukan nyanyian biasa
Persembahan pada malam itu menampilkan susunan lagu daripada tema filem dan teater muzikal popular tempatan serta antarabangsa yang akan dimainkan dalam bentuk Okestra Simfoni.
Antara lagu yang akan dipersembahkan adalah daripada filem Star Wars, Harry Potter, Pirates of the Caribbean, Puteri Gunung Ledang dan banyak lagi.
Menurut Jacyln antara cabaran perlu ditempuh adalah dari segi pembawakan vokal kerana ia bukan sudut nyanyian yang biasa dibawakannya seperti sebelum ini.
"Saya perlu banyak berlatih kerana teknik vokal lebih tinggi daripada yang biasa saya nyanyikan.
"Ia perlu dikawal dengan baik dan saya benar-benar harus banyak berlatih kerana gaya nyanyian berbeza daripada yang biasa dilontarkan," katanya.
Sementara itu, sejak bergelar ibu kepada bayi lelaki Jonah Joshiah Rivera yang kini berusia sekurang-kurangnya tiga minggu, Jacyln akui ia adalah hikmah besar buat dirinya
Jacyln mengahwini Shawn Rivera, 41 pada 19 Julai tahun lalu. Rivera berdarah Puerto Rico juga seorang penyanyi daripada anggota kumpulan Az Yet.
Menurutnya, memikul tanggungjawab sebagai ibu sememangnya perkara yang tidak dijangka malah ia menjadi satu peranan yang mengujakan.
"Menjadi ibu membuatkan saya begitu seronok.
"Saya tidak sangka menjadi ibu membuatkan saya segembira ini.
"Ia juga membawa perubahan yang sekaligus membuatkan diri saya lebih tenang," katanya.

