Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pelbagai persoalan sering dibangkitkan apabila sesuatu filem itu seolah-olah gagal mendapat tempat di hati peminat, sekaligus gagal memperoleh kutipan pecah panggung.

Dalam kekangan tanda tanya itu, ada pelbagai andaian dibuat bertujuan untuk menjelaskan 'misteri' berkenaan.

Mungkin dianggap klise, tetapi realitinya perkara itu perlu dikaji hingga ke akar umbi bagi menenangkan semua pihak yang gemar bertelagah.

Berikutan hal itu, Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM) mengambil inisiatif membuat penyelidikan bagi merungkai masalah sebenar dalam industri perfileman negara.

Kebertanggungjawaban itu sesuai dengan fungsi FDAM - antara lain - mencari kaitan antara kehendak penonton dengan pasaran.

Kajian itu nanti akan dijalankan dengan usahasama Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Berdasarkan kajian dibuat Finas menunjukkan China menjadi negara paling tinggi membuat penjualan tiket wayang iaitu AS$4.8 bilion (RM20.27 bilion), diikuti Jepun AS$2 bilion (RM8.44 bilion), India AS$1.7 bilion (RM7.18) dan negara jiran, Indonesia berada di tangga ke-20 dengan AS$200 juta (RM844 juta).

Malaysia pula tertinggal AS$7 juta (RM29 juta) di belakang kutipan pecah panggung diperoleh Indonesia pada 2014.

Walaupun begitu, data itu menunjukkan negara ini sebenarnya mampu bersaing dengan pengusaha filem di pasaran dunia.

Dalam pembentangan data awal oleh Naib Presiden FDAM, Syed Zulkifli Syed Masir, maklumat dikumpulkan menunjukkan rakyat Malaysia memang gemar menonton wayang di panggung.

Terlaris tak semesti dari Hollywood

Berdasarkan data pada 2014, kira-kira 61 juta tiket dijual sepanjang tahun berkenaan dan membandingkannya dengan jumlah penduduk negara ini, ia memang menggalakkan.

Secara purata, kata Syed Zulkifli, seorang rakyat Malaysia sanggup mengeluarkan wang untuk membeli dua tiket wayang dalam setahun.

Tetapi ap akah yang membuatkan filem tempatan masih gagal menguasai pawagam ketika rakyat Malaysia dibuktikan secara statistik gemar menonton wayang?

Kegagalan sesuatu filem mungkin sering dikaitkan dengan faktor bajet produksi filem yang terlalu kecil, tiada bintang besar berlakon, promosi tidak meluas dan tiada kesan visual janaan komputer yang canggih.

Tetapi menerusi graf lain disediakan FDAM, pandangan di atas mungkin boleh dicabar kerana filem yang lebih menguasai pawagam (melalui jumlah penjualan tiket yang tinggi) adalah produksi tempatan di negara yang dikaji, bukannya produk Hollywood.

Ia menunjukkan filem tempatan Korea ( Myeong Ryeong ) dan India ( PK ) berjaya bertakhta di hati penonton dan mengungguli pawagam negara masing-masing berbanding Transformers yang menguasai pasaran Malaysia, Indonesia dan China.

Sebagai contoh, PK mencatat jualan tiket tertinggi filem India sepanjang zaman dengan kutipan lebih AS$110 juta (RM464 juta) di seluruh dunia.

Di India saja, sebenarnya sembilan filem tempatan berjaya menduduki carta teratas di negara itu pada tahun lepas.

Ini tidak mustahil boleh berlaku di Malaysia.

Faktor yang memungkinkan filem tempatan India dan Korea laris di kalangan peminat negara itu harus dikaji jika kita mahu ia turut berlaku di Malaysia.

FDAM memberitahu, mereka terpanggil untuk melakukan kajian berkenaan sebagai penambahbaikan kualiti filem negara dan penguasaan pasaran.

Menurut FDAM, mereka ingin melaksanakan kajian itu kerana pasaran tempatan kecil dan analisis sebelum ini pula dibuat kurang tepat.

Suka atau tidak, kita perlu akui sekiranya pasaran dikaji dengan betul dan filem yang tepat dihasilkan, selera penonton mampu diubah supaya lebih memilih produksi tempatan berbanding import.

Kata FDAM, pasaran itu sememangnya ada, cuma ia tidak direbut dengan baik, malah pencapaian filem tempatan sendiri masih jauh untuk bersaing dengan negara jiran.

Lihat Komen
ADS