Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Mak Iti' sedih Tunku Jalil pergi
Diterbitkan:  Dec 7, 2015 3:23 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

Berita kemangkatan Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim Jumaat lalu sudah pasti mengundang hiba dan dukacita rakyat kerana keperibadian almarhum yang disanjung tinggi.

Antara yang turut bersedih dengan pemergian itu adalah penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Melalui status yang dimuat naik di alam maya, Siti menggambarkan keperihan dengan situasi yang dialami ekoran keakraban yang terjalin antara mereka berdua.

Kemesraan Siti dengan Tunku Abdul Jalil boleh dilihat apabila artis itu memberi gelaran “Lilipuput” kepada almarhum.

“Rabu dan terakhir Jumaat lalu, kata-kata semangatnya akan saya simpan kemas dalam ingatan dan bila teringat, saya akan baca semula perbualan kami dan video yang saya rakam,” tulisnya.

Tunku Abdul Jalil, 25, meninggal dunia pada jam 7.11 malam, 5 Disember lalu di Hospital Sultanah Aminah Almarhum selepas didiagnos menghidap kanser sejak Ogos tahun lalu.

Ketika hayatnya, putera keempat daripada enam beradik itu terkenal kerana hati budinya dan kecintaan terhadap alam sekitar dan haiwan.

Terdahulu, Siti memuat naik gambar bersama Tunku Abdul Jalil dengan menyatakan hubungan mereka sebagai sahabat kini tinggal dalam kenangan.

“Putera raja yang berjiwa rakyat.

“Saya kehilangan seorang teman, sahabat bergurau senda dan pemberi semangat tiap kali saya kesedihan.

“Tiada lagi panggilan Mak Iti dari insan bernama Tunku Jalil,” katanya.

“Lil, maafkan Mak Iti kerana tidak dapat menziarah buat kali terakhir, namun Lil sentiasa dalam doa. Al-fatihah,” katanya.

Antara lain turut dimuatkan dalam status itu, Siti menyertakan hashtag #TJdalamkenangan dan #Rajaberjiwarakyat dan #kehilangan.

Tunku Laksamana Johor anak Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris dikebumikan di Makam Diraja Mahmodiah di Johor Bahru.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS