Star Wars: The Force Awakens lebih awal di TGV
Peminat Star Wars yang tertunggu-tunggu tayangan terbaru filem itu di negara ini berpeluang menjadi antara penonton terawal di dunia pada Khamis depan.
Tayangan Star Wars: The Force Awakens itu akan dibuat mulai 12 tengah malam hingga jam 6 pagi 17 Disember.
Penonton sesi itu boleh dianggap sebagai antara orang terawal di dunia menyaksikan filem epik berkenaan kerana di AS sendiri ia hanya ditayangkan pada 18 Disember (waktu Malaysia).
Menurut Pegawai Kanan Pemasaran TGV Cinemas, Celeste Koay, tayangan khas itu dibuat sebagai sebahagian daripada cara merangsang keterujaan maksimum khas buat peminat yang ternanti-nanti kemunculan filem itu di layar perak.
“Tarikh tayangan filem itu di AS pada 18 Disember. Ini bermakna, peminat di sini dapat menonton
Star Wars: The Force Awakens
sehari lebih awal.
“Kami sudah pun membuka jualan tiket sesi tayangan khas itu dan setakat ini sambutannya sangat menggalakkan,” katanya.
Menurut Koay, pada pagi tarikh ditetapkan itu juga pelbagai aktiviti disediakan seperti aksi tarian daripada karakter Star Wars, penampilan Cosplay, persembahan lightsaber, pertandingan Droid permainan PS4 Battlefront dan banyak lagi.
Peminat berpeluang memenangi hadiah menarik apabila mereka mengambil bahagian dalam acara disediakan.
Menurut Koay, bagi mereka yang datang dengan pakaian karakter Star Wars pula berpeluang mendapat kopi percuma dari 17 hingga 20 Disember.
“Kami berharap tayangan sepanjang malam akan menjadi pengalaman unik untuk semua peminat," katanya.

